KUALA TERENGGANU: Seorang mekanik menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 19.98 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Mohd. Faizal Mazlan, 35.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Faizal didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 19.98 gram pada pukul 6.30 petang, 3 November 2022 di hadapan sebuah rumah teres di Kampung Paya Beril, Paka, Dungun.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Peguam bela, Mohd. Azrul Hasyimi Mohd dalam hujahannya memberitahu bahawa anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan bungkusan yang dirampas kerana ia dihantar melalui perkhidmatan kurier atas nama penerima lain.
Kata beliau, bungkusan tersebut turut memaparkan nombor telefon yang bukan milik tertuduh manakala pihak pendakwaan juga gagal menjelaskan siapa penghantar bungkusan berkenaan dan apa hubungannya dengan Mohd. Faizal.
“Adalah tidak adil untuk anak guam saya dipertanggungjawabkan terhadap barangan yang jelas bukan miliknya,” katanya.
Mahkamah memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak. Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Noradila Ab Latif manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad. – UTUSAN









