LONDON: Kebuluran yang melanda Semenanjung Gaza meninggalkan kesan parah pada tubuh kanak-kanak Palestin dengan wajah cengkung, mata layu, rambut gugur, tulang rusuk jelas kelihatan, kulit kering serta hilang keceriaan malah telah meragut ratusan nyawa.
Pakar memberi amaran, bagi yang terselamat, beban fizikal dan mental akibat kelaparan, peperangan hampir dua tahun dan perpindahan berterusan bakal meninggalkan parut sepanjang hayat, sekali gus menjejaskan kesihatan serta potensi masa depan mereka.
Menurut pakar pemakanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Gaza, Marina Adrianopoli, kajian global menunjukkan kekurangan zat makanan pada tahun pertama kehidupan, ditambah pula dengan trauma peperangan, boleh memberi kesan kekal terhadap memori, bahasa, pembelajaran serta keupayaan produktif seseorang.
“Sekiranya peratusan kanak-kanak yang terjejas akibat malnutrisi akut atau kronik adalah tinggi, wujud risiko satu generasi akan cacat kekal dari segi pertumbuhan fizikal, potensi sosioekonomi, selain trauma yang berpanjangan,” katanya dari Geneva.
Pegawai kesihatan Gaza melaporkan seramai 370 penduduk, termasuk 131 kanak-kanak, maut akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Agensi pertahanan Israel (COGAT) mendakwa lebih 1,900 trak bantuan, kebanyakannya membawa makanan, sudah disalurkan minggu lalu, namun agensi bantuan antarabangsa menegaskan jumlah itu jauh daripada mencukupi.
Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran terdapat masa yang sangat singkat untuk mengelakkan kebuluran merebak dan mendesak Israel membenarkan bantuan kemanusiaan masuk tanpa halangan.
Menurut pemantau global, ratusan ribu penduduk Palestin kini berdepan risiko kebuluran, khususnya di Gaza City yang menjadi lokasi serangan baharu tentera Israel terhadap Hamas.
Konflik berdarah itu sudah meragut lebih 64,000 nyawa penduduk Palestin dalam tempoh 23 bulan, menurut pegawai kesihatan tempatan.
Save the Children melaporkan lebih 20,000 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak serangan bermula, bersamaan seorang kanak-kanak setiap jam manakala data pejabat media Gaza menunjukkan sebanyak dua peratus populasi kanak-kanak sudah terkorban, termasuk lebih 1,000 bayi bawah umur setahun.
“Ini adalah perang kejam dan sengaja ditujukan kepada kanak-kanak Gaza serta masa depan mereka – satu generasi yang dicuri,” kata Pengarah Serantau Save the Children, Ahmad Alhendawi. -AGENSI










