KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun memandu Proton Wira milik abangnya tanpa lesen sehingga sanggup melarikan diri daripada polis, tular dalam media sosial selepas video kejadian itu disalah anggap membabitkan penjenayah berbahaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, rakaman berdurasi 24 saat yang dimuat naik di laman sosial Facebook itu memaparkan kereta peronda polis mengejar Proton Wira berwarna kelabu tersebut.
“Video itu mengundang pelbagai spekulasi netizen yang menyangka ia melibatkan penjenayah berbahaya. Polis ingin menjelaskan suspek hanyalah seorang remaja bawah umur yang cuba melarikan diri kerana takut ditahan,” katanya hari ini.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang Isnin lalu di Jalan Bandar Baru Kuala Nerus, dua anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD Kuala Terengganu sedang melakukan rondaan sebelum mengesan kenderaan dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota polis terbabit memberi isyarat supaya kenderaan itu berhenti, namun suspek bertindak memecut laju untuk melarikan diri.
“Suspek bukan sahaja enggan berhenti malah memandu secara berbahaya hingga hampir melanggar kenderaan polis. Bagi tujuan keselamatan, anggota terpaksa mengeluarkan senjata api jenis HK MP5 sebagai amaran keras sebelum suspek akhirnya memperlahan kereta dan berhenti,” katanya.
Wan Mohd Zaki berkata, pemeriksaan mendapati remaja terbabit masih bersekolah, tidak memiliki lesen memandu dan menggunakan kereta milik abangnya tanpa kebenaran.
“Tiada sebarang barang menyalahi undang-undang ditemukan, namun saman dikeluarkan atas kesalahan memandu tanpa lesen. Kes turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya. – UTUSAN










