Murid SK Balar tidak lagi redah arus deras ke sekolah

Murid SK Balar tidak lagi redah arus deras ke sekolah

JAMBATAN gantung yang merentasi Sungai Balar di Pos Balar, Gua Musang, Kelantan siap dibina sepenuhnya. – IHSAN JKOA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Selepas enam bulan bergadai nyawa meredah arus sungai deras dan melalui jambatan sementara, penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini, termasuk murid sekolah menarik nafas lega apabila pembinaan jambatan kekal masuk ke penempatan itu siap sepenuhnya, kelmarin.

Ia susulan pendedahan dibuat oleh Utusan Malaysia sebelum ini yang membantu mempercepat pembinaan jambatan tersebut sekali gus siap lebih awal daripada jadual asal.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Mohd. Fadzeli Ibrahim meluahkan rasa syukur dengan pembinaan semula jambatan itu yang disifatkan memberi impak besar buat penduduk setempat termasuk kedatangan murid ke sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, jambatan ini akhirnya siap. Terima kasih tidak terhingga kepada Utusan Malaysia yang telah turun padang dan merasai melihat sendiri kepayahan penduduk dan murid SK Balar meredah arus deras sungai selepas jambatan itu runtuh.

“Pembinaan jambatan kali ini dilihat lebih kukuh dan mampu membantu meningkatkan jumlah kehadiran murid ke SK Balar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Fadzeli berkata, ia sekali gus mengurangkan bahaya kepada murid-murid untuk ke sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang pula berkata, penduduk di kawasan itu menzahirkan terima kasih kepada kerajaan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) yang membina semula jambatan baharu yang lebih selamat serta kukuh.

Katanya, jambatan itu kini boleh dilalui oleh pengguna motosikal dan pejalan kaki.

“Sebelum ini penduduk terpaksa bertarung nyawa menggunakan jambatan sementara bagi menggantikan jambatan asal yang terputus akibat dihanyutkan arus sungai sejak 9 Mac lalu,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap Jakoa Kelantan dan Terengganu berkata, pembinaan yang bermula sejak 25 Jun lalu telah siap kira-kira sebulan lebih awal dan boleh digunakan sepenuhnya.

Katanya, pembinaan jambatan gantung itu lebih 1.2 meter menelan perbelanjaan sebanyak RM350,000.

Akhbar ini pernah melaporkan tentang kepayahan anak Orang Asli di Pos Balar menuntut ilmu yang mana kejadian kepala air kerap berlaku hingga merosakkan jambatan yang menghubungkan kampung dengan sekolah.

Jambatan utama menghu­bungkan kampung mereka runtuh sejak 9 Mac lalu, menjadikan laluan ke sekolah bukan sekadar sukar, malah amat berbahaya.

Perjalanan dari rumah mereka ke sekolah memakan masa antara 15 hingga 40 minit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini