KATHMANDU: Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli meletak jawatan pada Selasa, sehari selepas tindakan keras pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang.
“Saya telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri berkuat kuasa hari ini bagi mengambil langkah selanjutnya ke arah penyelesaian politik dan penyelesaian terhadap masalah yang timbul,” kata Oli dalam sepucuk surat kepada Presiden.
Protes yang bermula pada Isnin dengan tuntutan supaya kerajaan menarik balik larangan media sosial dan menangani isu rasuah, kembali tercetus meskipun aplikasi tersebut sudah diaktifkan semula.
Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh pada Isnin dan Amnesty International berkata, peluru hidup digunakan terhadap penunjuk perasaan.
Oli, 73, memulakan penggal keempatnya tahun lalu selepas Parti Komunis pimpinannya membentuk kerajaan gabungan dengan Nepali Congress berhaluan tengah-kiri dalam Parlimen yang sering tidak stabil.
Ketidakpuasan hati semakin memuncak berikutan ketidakstabilan politik, rasuah dan pembangunan ekonomi perlahan di negara Himalaya yang mempunyai 30 juta penduduk itu.
Sejak Jumaat lalu, video membandingkan kesusahan rakyat biasa dengan gaya hidup mewah anak-anak ahli politik mempamerkan barangan mewah dan percutian mahal tular di TikTok, sekali gus menyemarakkan lagi kemarahan rakyat.-AFP










