BARU-baru ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi nasihat kepada orang ramai dalam mengelak risiko renjatan serta pancaran arka (flashover) arus bervoltan tinggi.
“Selain kecederaan serius dan kehilangan nyawa, ia boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna,” kata TNB.
Bagi kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi, antara aktiviti tidak dibenarkan ialah bermain layang-layang dan helikopter atau kapal terbang kawalan jauh serta dron.
Selain itu, membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian dan memancing di kolam atau tasik juga mengundang risiko sama.
Ibu bapa juga perlu memastikan anak masing-masing tidak menyentuh atau menghampiri kabel yang terputus akibat pokok tumbang, terutama ketika hujan bagi mengelak terkena renjatan elektrik.
LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL SEMASA BERLAKUNYA KEJUTAN ELEKTRIK
– Matikan suis dengan segera.
– Jangan sentuh mangsa. Pisahkan mangsa daripada punca elektrik dengan menyentuhnya dengan penebat yang kering.
– Berikan pertolongan cemas kepada mangsa yang tidak sedarkan diri atau telah berhenti nafas jika boleh.
– Bawa mangsa ke klinik atau hospital dengan segera.
LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN SEMASA PENGGUNAAN ELEKTRIK
– Jangan sentuh wayar elektrik atau alat elektrik dengan tangan yang basah.
– Jangan guna wayar elektrik yang penebatnya telah tertanggal.
– Jangan bermain berhampiran dengan punca kuasa.
– Jangan guna alat elektrik semasa berlakunya guruh atau kilat.
– Padamkan suis utama sebelum sebarang litar elektrik diperbaiki.
– Jangan baiki sendiri alat elektrik atau litar elektrik yang rosak.
– Jangan cucuk sebarang bahan ke dalam lubang soket.
– Jangan sambung palam elektrik yang terlalu banyak pada punca kuasa yang sama.
– Jangan ganti dawai fius yang terputus dengan dawai biasa.-UTUSAN
NURUL SIDEK
Bekas jurutera elektrik
Kajang, Selangor










