ISKANDAR PUTERI: Hospital dan klinik kesihatan Segamat yang dilaporkan mengalami kerosakan kecil akibat gempa bumi lemah baru-baru ini terus beroperasi seperti biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kerosakan yang berlaku termasuklah siling runtuh tidak menjejaskan perkhidmatan fasiliti awam berkenaan.
“Sehingga hari ini, pemeriksaan yang dibuat mendapati gempa bumi lemah tersebut tidak menyebabkan kerosakan struktur pada bangunan berkenaan, sehubungan itu operasinya akan diteruskan seperti biasa.
“Saya dimaklumkan bahawa agensi-agensi berkaitan akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaham (MoU) berhubung pembinaan sebuah fasiliti kesihatan swasta di Forest City, di sini hari ini.
Tambah Tian Soon, pihaknya juga telah mengarahkan agar Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) meningkatkan tahap kesiapsiagaan di fasiliti kesihatan awam negeri ini sebagai persediaan menghadapi sebarang insiden lain pada masa depan.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Segamat juga diminta untuk menyelaras dan melaksanakan latihan kecemasan melibatkan pelbagai agensi dan jabatan bagi meningkatkan keberkesanan respons terhadap bencana alam,” jelasnya.
Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, sebanyak RM550,500 diperlukan untuk membaiki kerosakan kecil pada 15 bangunan kerajaan susulan gempa bumi lemah yang melanda Segamat antara 24 hingga 30 Ogos lalu.
Antara bangunan terjejas termasuklah Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah serta kuarters kerajaan di daerah itu. – UTUSAN










