SD tidak sah, Muhyiddin kekal calon PM bagi PN

SD tidak sah, Muhyiddin kekal calon PM bagi PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akuan Bersumpah (SD) tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam Perlembagaan parti untuk menentukan mana-mana jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Presiden yang kini disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan itu, bukan sahaja kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden tidak tergugat, tetapi juga kekal sebagai calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) se­perti mana diputuskan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, jawatan tersebut di­pilih secara sah oleh ahli melalui pemilihan persidangan bahagian dan PA.

“SD tiada sebarang tempat dalam perlembagaan parti untuk memilih dan menentukan kedudukan jawatan Presiden atau sebarang jawatan yang dipilih secara sah melalui pemilihan oleh ahli-ahli Bersatu dalam persidangan di peringkat Bahagian dan PAT. Apalagi kalau SD itu bukan SD yang sah dan butiran dalam SD itu adalah berdasarkan penipuan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan kira-kira 120 Ketua Bahagian Bersatu menandatangani SD menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengulas lanjut, Tun Faisal turut berkata, SD yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan Presiden bukan sahaja tidak sah, malah berasaskan maklumat palsu.

Katanya, ia diatur oleh ha­nya dua atau tiga individu yang tidak memahami perlembagaan parti.

“Membuat SD dan menandatangani SD ini menunjukkan pihak yang terbabit tidak memahami perlembagaan par­ti, tidak memahami aspek legitnya sesuatu SD, cubaan me­nipu menggunakan butiran palsu dan menunjukkan kumpulan ini hanyalah minoriti yang tahu mereka tidak mampu mengatasi suara majoriti dalam PAT dan bahagian masing-masing,” katanya.

Jelasnya, PAT 2025 telah membuat keputusan, dan hampir 2,600 perwakilan menyokong sebulat suara memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin untuk terus kekal sebagai Presiden Bersatu dan menamakan Muhyiddin sebagai calon PM11 bagi Bersatu.

“PAT adalah platform ter­tinggi parti yang mengatasi semua platform yang lain, me­lainkan Perlembagaan Bersatu,” ujarnya.

Kelmarin, Bersatu meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAT Bersatu kali ke-9 turut menyokong sepenuhnya kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Presiden Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×