PETALING JAYA: Dianggarkan purata sebanyak 258 panggilan setiap hari berkaitan kes penipuan diterima Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebanyak 147,266 panggilan kes penipuan diterima NRSC dalam tempoh 19 bulan ini.
Katanya, ia membabitkan sebanyak 67,581 panggilan sepanjang tahun lalu manakala 79,685 bermula Januari hingga Julai lalu.
“Terdapat peningkatan sebanyak 12,104 panggilan penipuan diterima NSRC tahun ini iaitu kira-kira 17.9 peratus berbanding tahun lalu. Ini menunjukkan masyarakat atau mangsa sudah sedar fungsi dan peranan NSRC bagi melaporkan sebarang penipuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengingkatkan agar panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang membuat sekatan wang yang dipindahkan lebih tinggi.
Akhbar ini semalam melaporkan sindiket penipuan atau scammer mengaut keuntungan sebanyak RM3.1 bilion bagi tempoh 19 bulan sepanjang tahun 2024 hingga Julai lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 67,317 kes penipuan berlaku dengan purata 118 kes dilaporkan berlaku setiap hari di negara ini akibat ditipu scammer.
Rusdi dilaporkan berkata, sebanyak 35,368 kes dengan kerugian RM1.57 bilion dicatatkan pada 2024 manakala kes 31,949 kes dilaporkan dengan kerugian RM1.53 bilion sepanjang tujuh bulan tahun ini sejak Januari hingga Julai lalu.
Beliau dilaporkan berkata, dalam tempoh terbabit, jenayah telekomunikasi mencatatkan kes tertinggi iaitu 28,134 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM941.35 juta.
“Sebanyak 11,653 kes pelaburan tidak wujud dengan kerugian mencecah RM1.76 bilion diikuti jenayah e-dagang (RM145.08 juta) dan 7,878 kes berkaitan pinjaman tidak wujud (RM76.62 juta).
“Selain itu, sebanyak 3,991 kes membabitkan jenayah e-kewangan dengan nilai kerugian RM108.9 juta dan 1,297 kes love scam melibatkan kerugian RM68.8 juta,” katanya.-UTUSAN.










