Wushu catat prestasi terbaik

Wushu catat prestasi terbaik

JIA Rong (kiri) bergandingan bersama Cheong Min (tengah) dan Pang Pui Yee untuk menghadiahkan emas terakhir dalam acara duilian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad wushu negara melakar sejarah gemilang apabila meraih lima pingat emas di Kejohanan Wushu Dunia di Brasilia, Brazil, sekali gus pencapaian terbaik sepanjang penyertaan Malaysia.

Dua muka baharu, Si Shin Peng dan Lee Jia Rong muncul wira dengan meraih emas pertama mereka di pentas dunia, menandakan kelahiran generasi emas baharu untuk sukan tersebut.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt berkata, kejayaan dua atlet itu selain Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee menunjukkan sukan itu telah matang dalam melahirkan atlet berkelas dunia.

“Apa yang menggembirakan, empat daripada emas kali ini disumbangkan oleh atlet yang sebelum ini tidak pernah naik podium di Kejohanan Dunia.

“Tahun lalu, Shin Peng dan Jia Rong hampir digugurkan daripada skuad kebangsaan, tetapi hari ini mereka berdiri sebagai juara dunia,” kata Kim Fatt.

Malaysia sebelum ini hanya pernah meraih empat emas pada edisi 2005 di Hanoi dan 2013 di Kuala Lumpur, namun kejayaan kali ini jelas mengatasi segala rekod lalu.

Shin Peng membuka tirai dengan emas dalam acara qiangshu dan jianshu, sebelum Cheong Min menambah koleksi melalui acara nangun.

Jia Rong pula cemerlang menjuarai daoshu, sebelum bergandingan bersama Cheong Min dan Pang Pui Yee untuk menghadiahkan emas terakhir dalam acara duilian.

Dalam pada itu, Kim Fatt berkata beliau tidak mahu skuad wushu terbuai dengan kejayaan lima emas di Kejohanan Dunia sebaliknya pulang dan berlatih dengan keras menjelang Sukan SEA Disember ini serta Sukan Asia tahun depan.

“Walaupun kita menang lima emas, kita tidak boleh berhenti di sini kerana standard dunia semakin meningkat, jadi kita perlu kerja lebih keras dan perkemas persiapan untuk Sukan SEA serta Sukan Asia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×