JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri antara tiga suspek ditahan bersama syabu lebih 80 kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah kediaman di Bandar Penawar, Kota Tinggi minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 43, isterinya warga Indonesia serta wanita tempatan masing-masing berusia 30-an.
Katanya, serbuan di kediaman teres dalam kawasan berpagar dan berpengawal itu menemukan 76 bungkusan berisi syabu seberat 80.33kg bernilai RM2.57 juta.
“Turut dirampas empat buah kereta, dua buah motosikal, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM410,104,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.
Ab. Rahaman berkata, modus operandi sindiket yang beroperasi sejak April tahun lalu itu adalah mendapatkan bekalan dadah dari pasaran tempatan, sebelum dibungkus dalam bungkusan produk teh Cina untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Jika kekal dalam pasaran, dadah ini boleh digunakan seramai 401,650 penagih. Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan laluan laut untuk membekalkan dadah tersebut bagi pasaran di Kepulauan Riau, Indonesia khususnya Pulau Batam.
“Setiap bungkusan dadah dijual pada harga RM32,000 sebungkus bagi memudahkan kerja-kerja pengedaran pihak terlibat,” katanya.
Ab. Rahaman berkata, kediaman tersebut dijadikan lokasi transit bagi pembungkusan dan penyimpanan dadah.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala wanita warga Indonesia itu turut disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959. – UTUSAN










