Thaksin pulang ke Bangkok menjelang keputusan mahkamah

Thaksin pulang ke Bangkok menjelang keputusan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra kembali ke tanah air pada Isnin menjelang keputusan penting Mahkamah Agung yang berkemungkinan menyaksikan beliau dipenjarakan.

Thaksin, 76, dilaporkan berlepas minggu lalu selepas parti dinasti politiknya digulingkan daripada kerajaan, mencetuskan spekulasi beliau cuba melarikan diri daripada siasatan Mahkamah Agung berhubung pelaksanaan hukuman penjara yang pernah dijatuhkan ke atasnya.

Keputusan siasatan itu dijangka diumumkan pada Selasa.

Walaupun siasatan tersebut bukan untuk membuktikan kesalahannya yang lalu, penganalisis berpendapat keputusan itu tetap boleh menyebabkan beliau kembali ke penjara.

Rakaman televisyen di media Thailand menunjukkan Thaksin tiba di Lapangan Terbang Don Mueang, Bangkok dengan jet peribadi pada petang Isnin, dan beliau berikrar akan hadir sendiri ke mahkamah.

Keluarga Shinawatra selama dua dekad menjadi seteru utama golongan elit pro-tentera dan pro-diraja Thailand yang menganggap pendekatan populis mereka sebagai ancaman kepada sistem sosial tradisional.

Namun, pengaruh politik dinasti itu kini semakin merosot selepas siri kegagalan undang-undang dan politik, termasuk penyingkiran Parti Pheu Thai daripada kerajaan minggu lalu.

Siasatan kehakiman itu berkisar pada hukuman penjara Thaksin atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa berikutan kepulangannya pada Ogos 2023, selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan.

Beliau pada awalnya dijatuhi hukuman lapan tahun penjara tetapi tidak pernah bermalam di sel kerana segera dipindahkan ke bilik peribadi di Hospital Polis Umum Bangkok.

Pemindahan itu, serta kepulangannya yang bertepatan dengan pembentukan kerajaan baharu oleh Parti Pheu Thai, mencetuskan kecurigaan awam mengenai kemungkinan wujudnya perjanjian belakang tabir dan layanan istimewa.

Pengampunan diraja kemudian mengurangkan hukumannya kepada hanya setahun, sebelum beliau dibebaskan pada Februari 2024 melalui skim pembebasan awal untuk banduan warga emas.

Siasatan Mahkamah Agung yang bermula April lalu meneliti pegawai penjara dan perubatan bagi menentukan sama ada hukuman tersebut benar-benar dilaksanakan dengan sewajarnya.

Anaknya yang juga bekas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, digugurkan daripada jawatan bulan lalu selepas mahkamah mendapati beliau melanggar etika menteri dalam kes pertikaian sempadan dengan Kemboja.

Bekas sekutu Pheu Thai, hartawan konservatif, Anutin Charnvirakul, membentuk gabungan baharu bagi mengambil alih kerajaan yang didominasi parti itu sejak pilihan raya 2023.

Anutin secara rasmi memegang jawatan pada Ahad, menegaskan beliau pernah berdepan tekanan undang-undang sebelum ini namun berikrar pentadbirannya akan membiarkan undang-undang berjalan mengikut salurannya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×