PETALING JAYA: CIMB Foundation (CIMB) memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan inisiatif pendidikan di seluruh rantau ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu 2026 hingga 2030, selaras tujuan bank itu memajukan pelanggan dan masyarakat.
Komitmen tersebut merangkumi sokongan kepada belia melalui biasiswa dan program pembangunan kapasiti, membolehkan pelajar kurang berkemampuan mengakses pendidikan berkualiti serta memacu literasi kewangan terutama dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pendidikan adalah satu daripada pemangkin kemajuan yang paling berkuasa.
“Dengan komitmen terbesar kami setakat ini dalam pendidikan, kami komited memberdayakan generasi pemimpin ASEAN yang akan datang dengan meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti.
“Komitmen baharu ini mencerminkan usaha kami dalam meningkatkan kehidupan golongan muda dengan menyediakan akses adil kepada peluang pembelajaran yang memberi impak.
“CIMB akan terus melaksanakan program berasaskan pendidikan yang membekalkan individu dan komuniti dengan kemahiran penting untuk membuat keputusan bijak, memperkukuh kesejahteraan kewangan, mengurangkan jurang pendidikan dan memupuk pertumbuhan komuniti mampan,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang tahun-tahun sebelumnya, CIMB sentiasa melabur dalam pendidikan, pembangunan belia dan program pemberdayaan literasi kewangan yang memberi impak positif kepada bakat muda di seluruh rantau.
Melalui biasiswa, usaha pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik, bank itu telah membantu membina bakat berpotensi tinggi, memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan meningkatkan kesedaran kewangan di kalangan belia, membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pemimpin masa depan.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen CIMB yang lebih luas mewujudkan impak positif yang berpanjangan kepada komuniti melalui pendidikan, mereka berbangga meneruskan Program Biasiswa ASEAN CIMB pada tahun ini.
“Kami bangga melihat bakat muda cemerlang berkembang dalam perjalanan akademi, meningkatkan taraf keluarga dan menyumbang kepada komuniti masing-masing, selaras tujuan CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.
“Lebih daripada sokongan kewangan, program ini membina generasi berwawasan dan bersedia menghadapi masa depan, dilengkapi untuk menyesuaikan diri dengan landskap ASEAN yang sentiasa berubah.
“Aspirasi kami adalah untuk terus membina pemimpin masa depan, hari ini,” ujarnya.
Sebanyak 11 pelajar telah dipilih daripada lebih 6,000 pemohon yang sangat kompetitif, diiktiraf atas pencapaian akademik cemerlang, kualiti kepimpinan, daya tahan dan semangat juang, termasuk individu daripada komuniti B40 dan kurang bernasib baik.
Ini menegaskan komitmen CIMB untuk memberikan akses pendidikan tinggi di institusi terkemuka pilihan mereka kepada belia berpotensi tinggi di seluruh ASEAN, antaranya Universiti Sydney, King’s College London, Universiti Leeds, Universiti Southampton, London School of Economics, Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA dan Singapore Management University.
Sehingga kini, program biasiswa itu telah memberi manfaat kepada 144 pelajar dengan pelaburan berjumlah RM82.4 juta. – UTUSAN










