KOTA TINGGI: Satu video memaparkan kejadian kecurian beg di dalam Masjid Jamek As-Sharif, Felda Pasir Raja di sini, tular di aplikasi TikTok sejak kelmarin.
Video itu dimuat naik oleh pemilik akaun ‘AfiqAziz28’ dan mula menarik perhatian orang ramai sehingga mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Rakaman memperlihatkan seorang lelaki mencuri beg tangan jemaah wanita yang sedang sujud ketika menunaikan solat maghrib.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada Sabtu lalu kira-kira pukul 9.19 malam.
“Laporan dibuat oleh seorang wanita Melayu yang menjadi mangsa kejadian. Akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian RM500.
“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
“Sehubungan itu pihak polis memohon bantuan orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Wan Mohd. Kamal Wan Abas di talian 013-2624774 atau mana-mana balai polis berdekatan juga boleh menghubungi Hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222,” katanya.– UTUSAN










