ASEAN perlu bertindak, krisis air global ancam sekuriti makanan

ASEAN perlu bertindak, krisis air global ancam sekuriti makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Negara-negara ASEAN diseru memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani cabaran krisis air global yang semakin meruncing dan dijangka memberi kesan besar kepada sekuriti makanan dunia. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengeluaran makanan dunia perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2050 bagi memenuhi keperluan populasi global yang dijangka mencecah 9.7 bilion.

Beliau berkata, ketika ini lebih 2.4 bilion penduduk dunia hidup dalam tekanan bekalan air, sedangkan sektor pertanian sahaja menyumbang kepada hampir 70 peratus penggunaan air tawar dunia.

“Perubahan iklim telah menjejaskan kebolehjangkaan bekalan air. Sekiranya tiada tindakan diambil, menjelang 2030, permintaan air dijangka melebihi bekalan sebanyak 40 peratus.

“Dalam konteks ini, sistem pengairan bukan lagi dianggap sebagai teknologi lama, sebaliknya merupakan komponen penting dalam menjamin masa depan bekalan makanan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Forum Pengairan Dunia Ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 (IEC) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mohamad berkata, keselamatan makanan di rantau ASEAN merupakan tanggungjawab bersama memandangkan lebih 600 juta penduduk bergantung kepada hasil pertanian dan sumber air yang kian terancam.

“Cabaran seperti peningkatan permintaan makanan, tekanan terhadap lembangan air utama seperti Mekong dan Chao Phraya serta kejutan iklim yang semakin kerap menuntut kerjasama lebih erat di peringkat serantau,” katanya. 

Tambah beliau, ASEAN mempunyai hampir 90 juta hektar tanah yang diairi, yang sebahagian besarnya boleh dimodenkan bagi meningkatkan kecekapan dan daya tahan sektor pertanian.

“Malaysia berpandangan ASEAN perlu segera memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam pengurusan air, melabur dalam penyelidikan bersama serta menyelaraskan piawaian pengairan yang selari dengan pendekatan pintar iklim,” katanya.

WIF4 merupakan persidangan utama antarabangsa yang membincangkan isu berkaitan pengairan, saliran pertanian dan keterjaminan makanan. Ia dianjurkan setiap tiga tahun oleh negara anggota International Commission on Irrigation and Drainage (ICID).

Sebelum ini, penganjuran WIF telah berlangsung di Mardin, Turki (WIF1), Chiang Mai, Thailand (WIF2) dan Bali, Indonesia (WIF3). Kali ini, Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah bagi edisi keempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×