SEREMBAN: Seramai 11 orang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan penipuan dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak wujud.
Kesemua tertuduh Willie Ngam Tee Heng, 41, Lai Wen Bin, 21, Chee Juen Hoe, 36, Vincent Lim Liang Yik, 22, Jerry Teo Chee Ming, 22, Sim Wee Yung, 27, Chin Chye Fui, 34, Tan Wen Wah, 26, Yong Wai Chuan, 20, Chan Zi Cheng, 19, dan Jaydi Requiron Teh, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mahkamah turut menetapkan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh enam bulan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama telah berpakat untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak wujud kepada mangsa.
Mereka dengan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang kepada mana-mana orang yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 2.24 petang dan 2.30 petang di sebuah kafe dan sebuah premis di Pusat Dagangan Seremban 2 di sini pada 26 Ogos lalu.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
Peguam Erickka Farrise yang mewakili kesemua tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman paling minimum memandangkan itu kesalahan pertama tertuduh selain mereka telah insaf atas perbuatan yang dilakukan.
Erickka berkata, sebelum ini kesemua tertuduh bekerja sebagai eksekutif dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya P.Rubini kemudian memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan mengarahkan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan fakta kes, mereka telah menjalankan penipuan atas talian melalui aplikasi sembang dengan menggunakan identiti palsu atau menyamar sebagai pihak pemberi pinjam wang.-UTUSAN.










