PETALING JAYA: Kehadiran Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menimbulkan kebimbangan serius mengenai komitmen parti itu terhadap Kerajaan Perpaduan.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, M. Thulsi berkata, tindakan Kesavan memberi isyarat salah dan menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan sebenar parti berkenaan ketika Kerajaan Perpaduan seharusnya memperkukuhkan kerjasama demi rakyat.
“MIC kelihatan mahu bermain selamat. Satu kaki dalam, satu kaki luar. Siang bersama kerajaan, malam pula bersama PN. Perkara ini hanya menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan sebenar mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Thulsi berkata, perkara yang lebih membimbangkan ialah MIC terus menikmati manfaat sebagai sebahagian daripada kerajaan, namun dalam masa sama memberi ruang kepada tawaran daripada Perikatan Nasional (PN).
“Kenyataan mereka sendiri yang berasa seperti ‘tetamu tidak diundang’ hanya menambah kekeliruan dan berisiko mengasingkan lagi komuniti India yang mereka dakwa wakili,” katanya.
Beliau turut mendesak kepimpinan MIC menjelaskan mengapa sayap belia mereka mengambil bahagian dalam acara anjuran Bersatu.
“Dialog politik itu penting, tetapi ia tidak boleh sampai menjejaskan matlamat bersama Kerajaan Perpaduan. Rakyat berhak tahu sama ada kehadiran itu menandakan perubahan keutamaan MIC,” ujarnya.
Pada masa sama, Thulsi berkata, MIC juga perlu memberi penjelasan berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini yang mendakwa parti itu berdiam diri ketika mesyuarat gabungan dan tidak membangkitkan isu.
“Adakah ini bermakna walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan, MIC gagal menyuarakan isu kebajikan rakyat kepada pemimpin yang duduk dalam Kabinet?” soalnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kesavan hadir pada mesyuarat berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Kesavan dilihat duduk di barisan hadapan bersama Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham, menyampaikan ucapan dasar.
Perwakilan Armada Bersatu turut bersorak apabila nama MIC disebut dalam ucapan alu-aluan Hilman.
BN juga akan menghantar surat rasmi kepada MIC bagi meminta penjelasan berhubung tindakan seorang pemimpin sayap parti itu menghadiri PAT Armada Bersatu Sabtu lalu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, MIC perlu memberi penjelasan bertulis kerana Bersatu bukan sebahagian daripada gabungan BN sebaliknya parti pembangkang.
Katanya, perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan BN merupakan sebahagian daripada parti kerajaan. – UTUSAN









