GEORGE TOWN: Seorang pekerja bank mempunyai cara yang unik untuk menunjukkan rasa cintanya terhadap negara apabila melakukan ‘brisk walk’ atau berjalan kaki secara pantas sejauh 68 kilometer (km) sebagai simbolik sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-68 pada tahun ini.
Ahmed Faisal Mohd Lazim, 50, memulakan perjalanannya secara solo kira-kira pukul 5 petang kelmarin di satu kawasan lapang berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang sebelum menamatkan lariannya di Padang Kota di sini kira-kira pukul 8 pagi, semalam.
Ketika ditemui Utusan Malaysia sebaik sahaja menamatkan misi itu, Ahmed Faisal yang juga seorang atlet dan pengasas Kelab Sukan Stay Fit Sunnah (SFSSC) berkata, dia berdepan pelbagai rintangan dan cabaran sepanjang larian tersebut yang memakan masa kira-kira 15 jam.
“Sebenarnya, sejak berada pada kilometer pertama lagi, tendon pada bahagian kaki saya sudah cedera. Tapi, saya cakap kepada diri saya sendiri bahawa saya tidak boleh mengalah. Saya kena teruskan sampai habis.
“Saya pernah buat beberapa kali (larian jarak jauh sebelum ini). Tapi, kali ini, ia memang mencabar sangat-sangat untuk saya.
“Cuaca pula Alhamdulillah, sangat cantik. Hujan turun kira-kira pukul 3 pagi semasa saya berada di Tanjung Bungah dan saya berlari hampir satu jam dalam keadaan basah pada masa itu.
“Apapun, saya bersyukur kerana berjaya menamatkan misi ini dengan jayanya. Satu kilometer terakhir (sebelum sampai ke garisan penamat) adalah momen paling indah buat saya,” katanya yang terpaksa menukar kasut sebanyak tiga kali sepanjang perjalanan berkenaan.
Terdahulu, ketibaan Ahmed Faisal disambut oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Teh Lai Heng (Komtar) dan Wong Yuee Harng dari Pengkalan Kota.
Ahmed Faisal sebelum ini pernah mencipta rekod tersendiri apabila berjalan kaki sejauh 93 km dari Alor Setar ke Pulau Pinang sempena ulang tahun ke-93 bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad tujuh tahun lalu selain berkayuh selama 100 jam tanpa henti kira-kira tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, Ahmed Faisal berkata, dia mahu berehat buat sementara waktu sebelum membuat perancangan baharu untuk mencipta rekod lain selepas ini.
“Saya sayangkan Malaysia dan semua yang saya lakukan ini adalah demi negara saya yang tercinta,” katanya dengan penuh bersemangat.-UTUSAN










