SEOUL: Korea Selatan melaporkan kes pertama penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menganalisis rakaman kamera keselamatan untuk mengesan individu hilang dalam tempoh beberapa jam.
Menurut Balai Polis Anyang Dongan di wilayah Gyeonggi, pihaknya menerima laporan sekitar 1.24 pagi pada 25 Jun lalu mengenai kehilangan seorang lelaki selepas menghantar mesej teks kepada teman wanita dan menutup telefonnya.
Pegawai polis dihantar ke lokasi terakhir isyarat telefon lelaki dan itu menemuinya berada di rumah bersama keluarga.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, keluarganya melaporkan dia sekali lagi hilang.
Polis kemudian mula menjejaki lelaki itu menggunakan sistem Perisikan Bersepadu Lanjutan untuk Pengenalpastian, program perintis yang membolehkan AI menganalisis rakaman kamera keselamatan awam berdasarkan gambar serta keterangan pakaian individu.
Pegawai memasukkan gambar lelaki itu bersama butiran pakaiannya pada hari kejadian, selain mengehadkan kawasan pencarian kepada kejiranannya.
Sistem tersebut berjaya mengesannya di sebuah taman berdekatan, sekali gus membolehkan polis menemuinya dalam tempoh tiga jam selepas laporan dibuat.
Kes itu menjadi yang pertama di Korea Selatan, di mana sistem berasaskan AI berjaya mengesan individu hilang.
Polis berkata, sekiranya pencari dilakukan secara manual oleh manusia, ia mungkin mengambil masa lebih 10 jam.
Namun, lelaki itu berjaya ditemui dengan selamat dalam tempoh yang jauh lebih singkat.- AGENSI










