PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki bagi membantu siasatan dalam kes ugutan serta menghina kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap hantaran akaun TikTok menggunakan nama Mohd Soie (@mohd.soie3) yang mengandungi unsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pautan tersebut dikesan pada https://vt.tiktok.com/ZsavAm3Kt/.
Katanya, susulan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Selain itu, kes kedua melibatkan satu komen berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Malaysia oleh akaun Facebook dikenali sebagai Mdjohan Ngadin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.











