SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ke-11.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan sebulat suara itu menerusi penutupan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu petang tadi.
Jelas beliau, perhimpunan kali kelapan kali itu telah berjaya dilaksanakan selama dua hari bermula semalam.
“Seramai 20 pembahas mengambil bahagian mewakili negeri, sayap dan wakil mahasiswa.
“Pembahas telah menghayati dan mengupas pelbagai isu termasuk kos sara hidup, ekonomi global dan serantau, perpaduan rakyat serta isu politik semasa,” katanya.
Menurut Mohamed Azmi, PAT bersetuju menyokong dan meluluskan usul ucapan dasar Presiden.
“Selain itu, kita menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau sebagai Presiden Bersatu.
“PAT juga sebulat suara mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11 daripada parti ini,” ujarnya.
Tambah beliau, perwakilan bertekad terus bekerja kuat di lapangan dan meningkatkan kemahiran jentera pilihan raya. – UTUSAN










