Anak angkat OKU akhirnya ada MyKad

Anak angkat OKU akhirnya ada MyKad

TEOH Zheng Yan (kiri) menunjukkan kad pengenalan dan kad orang kurang upaya (OKU) ketika ditemui di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Meskipun hanya membesarkan seorang anak angkat, Teoh Guet Kheng, 65, tidak pernah menganggap remaja tersebut yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) sebagai beban dalam kehidupanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pun begitu, Guet Kheng yang berniaga laksa sebagai mata pencariannya sentiasa bimbang apabila memikirkan mengenai masa depan anak tersebut yang dikenali sebagai Teoh Zheng Yan, 13.

Lebih menggembirakan Guet Kheng, remaja diasuhnya sejak kecil itu juga akhirnya berjaya memperoleh kad pe­ngenalan diri baru-baru ini hasil bantuan dan khidmat nasihat kerajaan negeri menerusi Program Kewarganegaraan Pulau Pinang (PKPP).

Zheng Yan mengidap Sindrom Down dan berdepan masalah keciciran persekolahan. Bagaimanapun, dia telah diterima untuk memasuki Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong bermula tahun ini.

“Dia (Zheng Yan) memang lahir di Pulau Pinang tetapi, ibunya telah meninggalkannya di hospital ketika baru lahir. Jadi, saya ambil, jaga sampai besar dan beri kasih sayang sebab saya pun tiada anak,” katanya.

Dia ditemui pada majlis meraikan Kejayaan Permohonan Kewarganegaraan Kanak-Kanak di Pulau Pinang oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di sini semalam.

Pesara, Adnan Abdullah, 70, dan isterinya, Hajibee Aboo Faither, 50, pula bersyukur kerana impian untuk melihat anak angkat mereka, Nur Darwisyah Qaisara Abdullah, 15, memiliki kad pengenalan sendiri akhirnya tertunai.

“Alhamdulillah akhirnya doa kami termakbul kerana berbelas-belas tahun juga kami ikhtiar dan bertanya ke sana ke mari untuk uruskan dokumen anak,” katanya.

Bagi seorang warga emas, Chan Weng Poh, 83, dia gembira kerana berjaya memiliki kad pengenalan selepas lebih 10 tahun menunggu untuk berbuat demikian.

Katanya, dia datang ke Malaysia beberapa bulan sebelum merdeka pada 1957 iaitu ketika berusia 15 tahun bersama bapa saudaranya demi ubah nasib keluarga.

“Walaupun saya lahir di China, saya tinggal di Malaysia sudah hampir 70 tahun dan saya sayangkan negara ini dengan sepenuh jiwa raga saya,” katanya yang mendapat status pemastautin tetap sebelum ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN