PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan dijangka terus bergerak secara berhati-hati minggu hadapan, dipengaruhi oleh faktor luaran khususnya keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 September ini.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan terhadap kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat, sekali gus memberikan sentimen positif kepada pasaran saham global.
“Namun begitu, data ekonomi semasa serta pandangan yang berbeza dalam kalangan ahli FOMC masih bercampur-campur.
“Keadaan ini menjadikan hala tuju dasar monetari Fed sukar untuk diramalkan dalam jangka terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Di peringkat domestik, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus menunjukkan keyakinan terhadap unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.8 peratus bagi tahun ini.
Mohd. Afzanizam berkata, pertumbuhan tersebut disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta perbelanjaan pembangunan oleh kerajaan Persekutuan, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Sehubungan itu, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berlegar dalam julat 1,570 hingga 1,590 mata.
“Paras psikologi 1,600 mata berkemungkinan besar dapat diatasi, bergantung kepada data pekerjaan di AS yang akan diumumkan Jumaat (5 September).
“Sekiranya data Nonfarm Payroll (NFP) kekal rendah, ia bakal meningkatkan kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh Fed, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sentimen positif dalam pasaran,” tambahnya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, pasaran saham dijangka terus berada dalam trend penurunan minggu ini, meskipun BNM mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.
“Tekanan jualan kekal menjadi faktor utama yang mengekang pemulihan pasaran buat masa ini.
“Saya menjangka pasaran saham tempatan masih dalam fasa penurunan untuk minggu ini, walaupun pengekalan OPR sepatutnya menjadi isyarat kestabilan ekonomi.
“Namun begitu, ia belum cukup kuat untuk mengubah sentimen semasa,” katanya.
Mohd. Rizal berkata, tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit kenaikan teknikal pada minggu hadapan, disokong oleh aktiviti belian bersasar oleh pelabur institusi.
“Kita mungkin akan melihat kenaikan sekitar 10 mata, hasil sokongan belian berdasarkan isyarat teknikal yang muncul selepas kejatuhan harga sebelum ini,” katanya.
Menurut beliau, pelabur institusi ketika ini dilihat terus memberi tumpuan kepada saham-saham kaunter mewah yang mempunyai asas kukuh dan daya saing tinggi, terutama dalam sektor perbankan, telekomunikasi dan pengguna.
“Sebaliknya, pelabur runcit masih berada di tepi (sidelines), kerana kaunter-kaunter berharga rendah masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Kekurangan sokongan belian dalam kaunter murah ini turut menyumbang kepada kelembapan pasaran secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










