TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, memutuskan untuk meletak jawatan bagi mengelakkan perpecahan dalam Parti Liberal Demokratik yang memerintah, lapor penyiar awam NHK pada Ahad.
Beliau membuat keputusan itu ketika ahli partinya mendesak diadakan pemilihan kepimpinan baharu susulan kekalahan besar dalam pilihan raya dewan atasan baru-baru ini.
Keputusan itu dibuat kurang setahun selepas pemimpin berusia 68 tahun itu mengambil alih tampuk kepimpinan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang telah lama mendominasi politik Jepun.
Sejak itu, beliau kehilangan majoriti di kedua-dua dewan Parlimen.
Akhbar harian Asahi Shimbun melaporkan, beliau tidak mampu menahan desakan yang semakin memuncak agar meletakkan jawatan.
Menteri Pertanian dan seorang bekas perdana menteri dilaporkan bertemu Ishiba pada Sabtu malam untuk menggesanya berundur secara sukarela.
Minggu lalu, empat pegawai kanan LDP termasuk orang nombor dua parti itu, Hiroshi Moriyama menawarkan untuk meletak jawatan.
Pihak yang menentang Ishiba mendesaknya berundur bagi mengambil tanggungjawab atas keputusan pilihan raya dewan atasan Julai lalu.
Ahli parlimen LDP dan pegawai wilayah di seluruh Jepun yang mahu pemilihan kepimpinan baharu akan mengemukakan permohonan pada Isnin.
Pemilihan baharu akan diadakan jika mendapat sokongan majoriti yang diperlukan.











