BEAUFORT- Cubaan menyeludup minuman keras bernilai lebih RM174,000 berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, selepas penahanan seorang lelaki, di sini, semalam.
Dalam Operasi Taring Landai Khas yang dijalankan pukul 9 malam itu, suspek ditahan di dalam kenderaan yang dipandu jenis pacuan empat roda Toyoya Vigo.
Ketua PPM Wilayah Empat Sabah, Asistan Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, tangkapan suspek membawa kepada serbuan stor yang menyimpan 5136 tin minuman keras pelbagai jenama.
“Ketika ditahan, kita mendapati terdapat minuman keras di belakang kenderaan dipandu suspek.
“Suspek berperanan sebagai ‘runner’ atau pembekal minuman keras bagi pasaran tempatan.
“Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas minuman keras di dalam stor penyimpanan dan di kenderaan suspek dengan jumlah keseluruhan bernilai RM174,250.90,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang aktiviti jenayah, khususnya membabitkan penyeludupan barang kontraban.
Jelasnya lagi, rampasan minuman keras itu berjaya melumpuhkan satu rangkaian pengedaran yang cuba menguasai pasaran gelap di negeri ini.
“Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,”. Katanya. – UTUSAN










