PETALING JAYA: MCA kini dilihat berpecah kepada dua kluster ekoran perdebatan sama ada parti itu perlu segera keluar daripada Barisan Nasional (BN) atau terus kekal dalam gabungan tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kumpulan pertama terdiri bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mahu parti itu segera meninggalkan BN dengan harapan boleh bertanding lebih banyak kerusi sambil mengharapkan undi daripada penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kluster Ti Lian Ker memang mahu MCA keluar segera supaya MCA boleh bertanding banyak kerusi dan berharap kepada undi Melayu Pas dan Bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Namun Mohd. Puad berkata, satu lagi kluster dalam MCA masih teragak-agak untuk membuat keputusan kerana khuatir pengundi Melayu Pas tidak akan menyokong calon MCA, malah lebih yakin undi Melayu UMNO lebih terjamin.
“Jawapan kepada Ti Lian Ker agak mudah. Pemimpin pusat tidak yakin jika menyertai PN, apakah pengundi Melayu Pas akan beri undi kepada MCA dan MIC? Undi Melayu daripada UMNO lebih terjamin,” katanya.
Mohd. Puad berkata, satu kelompok MCA bimbang mereka senasib Gerakan sekiranya keluar BN setelah mengambil kira nasib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Bayan Lepas meskipun berkempen atas pentas Pas.
“Pimpinan MCA bimbang apa yang berlaku pada Presiden Gerakan akan berlaku kepada MCA. Dominic Lau tewas di PRN 2023 Bayan Lepas (kubu Pas). Berkempen atas pentas Pas pun dihalang,” katanya. – UTUSAN










