PETALING JAYA: Lokasi pekerjaan pemohon bukan antara syarat yang ditetapkan bagi permohonan lanjutan tempoh penyewaan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL berkata, antara syarat utama yang perlu dipatuhi ialah penyewa perlu menetap secara berterusan di unit rumah berkenaan sehingga tamat tempoh menduduki mengikut perjanjian penyewaan.
Katanya, penyewa tidak boleh memiliki rumah dalam radius 35 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur dan Lembah Klang manakala pendapatan isi rumah pula mestilah tidak melebihi RM6,000 sebulan.
“Syarat lain termasuk penyewa tidak boleh mempunyai tunggakan sewa atau air dan mereka diwajibkan mengemukakan permohonan lanjutan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat tempoh penyewaan semasa.
“Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat asas iaitu mestilah telah berkahwin,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kira-kira 3,000 penduduk PA dan PPR berhadapan senarai pemutihan ekoran syarat baharu kontrak penyewaaan rumah DBKL yang menetapkan kelayakan tempat bekerja di ibu negara meskipun pejabat terletak dalam Lembah Klang.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai dilaporkan berkata, syarat baharu lain juga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penghuni ialah penetapan had pendapatan isi rumah meskipun mereka menampung kos sara kehidupan yang tinggi.
Katanya, hampir 3,000 penghuni masih menanti jawapan rasmi DBKL berhubung penyambungan kontrak sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kediaman masing-masing.
Sehingga Julai lalu, DBKL telah memproses sebanyak 3,379 permohonan lanjutan tempoh penyewaan dengan 3,031 diluluskan manakala 348 lagi ditolak kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan. – UTUSAN









