TEMERLOH: Kisah ibu gajah yang enggan berganjak dari lokasi anaknya maut dilanggar sebuah lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) menghubungkan Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan pada Mei lalu mencetuskan reaksi penuh emosi yang menyentuh hati masyarakat tempatan.
Kejadian tersebut bukan sahaja mengundang simpati, malah membuka mata banyak pihak terhadap naluri kasih sayang haiwan yang sering disalah anggap sebagai tidak berperasaan.
Kejadian itu tidak hanya di Malaysia, malah di Kenya, sekumpulan gajah dilaporkan pernah berkumpul di sekitar jasad gajah tua yang mati, sambil menyentuhnya dengan belalai dan berdiri senyap selama beberapa jam.
Di Thailand, seekor gajah pernah melawat penjaganya yang sakit, lantas menunjukkan ingatan dan kesetiaan cukup luar biasa.
Di India pula, terdapat laporan bahawa gajah menyelamatkan manusia semasa banjir dengan membawa mereka ke kawasan tinggi. Tindakan itu menunjukkan naluri pelindung dan empati yang jarang berlaku dalam dunia haiwan.
Kajian oleh National Geographic mendapati, gajah memiliki hippocampus yang besar iaitu bahagian otak yang mengawal emosi dan ingatan.
Ini menjelaskan mengapa haiwan itu mampu mengingati individu, lokasi dan peristiwa selama bertahun-tahun, termasuk trauma serta kehilangan.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Ahmad Ismail berkata, gajah khususnya spesies elephas maximus mempunyai struktur sosial yang kompleks dengan ikatan kekeluargaan yang erat.
Beliau berkata, tempoh kehamilan gajah betina mencecah 22 bulan dan si anak akan menyusu serta bergantung kepada ibunya sehingga umur lima tahun.
“Gajah bukan sahaja bijak, malah mempunyai emosi yang mendalam. Haiwan itu mampu meratapi kematian, menunjukkan empati dan membentuk hubungan seumur hidup” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ahmad berkata, masyarakat perlu lebih peka terhadap habitat gajah dan mengelakkan pembinaan jalan raya yang melintasi laluan migrasinya.
“Perlu ada kajian terperinci sebelum membina jalan raya dan menyediakan laluan yang cukup untuk gajah dan kawanannya melintas. Kita perlu hormati ruang hidup haiwan ini. Gajah bukan ancaman tetapi makhluk yang penuh kasih sayang seperti manusia.
“Kisah ibu gajah di Gerik bukan sekadar tragedi, tetapi peringatan bahawa kasih sayang bukan milik eksklusif manusia semata-mata. Ia wujud dalam bentuk yang berbeza, namun tetap tulus dan menyentuh jiwa. Dalam dunia yang semakin terasing, mungkin kita perlu belajar sedikit tentang cinta daripada makhluk yang tidak pernah berkata-kata,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Abd.Rahman berkata, insiden di Gerik menyentak emosi bukan sahaja pasukannya, malah seluruh komuniti pencinta haiwan.
“Gajah tidak pernah keseorangan. Mereka hidup dalam koloni, berkongsi kasih sayang dan emosi. Bila seekor tercedera atau mati, yang lain turut berduka,” katanya.
Che Ku Mohd. Zamsuri berkata, mesej paling utama adalah menghormati habitat gajah, tidak menganggu atau membunyikan hon jika terserempak.
“Gajah ini bukan sekadar haiwan. Mereka ada hati, perasaan dan jiwa,” katanya.
Nur Karima Kamaluddin, 36, yang bertugas sebagai juru acara pertunjukan di PKGK mengakui, seronok ‘berkomunikasi’ dengan gajah dalam bahasa khas yang difahami haiwan itu.
“Gajah patuh dan cerdik. Saya juga boleh berinteraksi dalam bahasa asing seperti Perancis, Cina dan Korea,” katanya.
Mahut atau penjinak gajah, Jamaluddin Ishak, 53, yang sudah berkhidmat lebih 32 tahun turut berkongsi pelbagai pengalaman cemas semasa operasi pemindahan gajah di Merapoh, Lipis; Jeli dan Felda Mayam di Bera.
“Gajah merupakan haiwan yang sangat sensitif. Sayang ibu gajah kepada anak sama seperti manusia. Bila anak mati, haiwan ini tetap datang jenguk,” katanya.

Bekas mahut berpengalaman, Saudi Sidek, 64, berkata, gajah bukan sekadar haiwan besar yang hidup berkelompok, malah memiliki daya ingatan luar biasa sehingga mampu mengenali individu dan lokasi penting bertahun-tahun lamanya.
Menurutnya yang lebih 41 tahun bersama gajah, haiwan itu mampu mengingati manusia dan gajah lain yang pernah ditemui, termasuk mereka yang pernah mengancam keselamatan kawanan.
“Gajah tidak akan lupa siapa yang pernah menyakiti atau mengancamnya. Ia juga tidak akan melupakan lokasi penting seperti tempat kehilangan atau kematian anaknya.
“Keupayaan ingatan gajah bukan sahaja membantu dalam kehidupan sosial kawanan, malah menjadi faktor penting dalam kelangsungan hidup haiwan ini di habitat liar. Pernah berlaku seekor gajah kembali ke lokasi sama bertahun-tahun selepas anaknya mati di situ. Ia berdiri lama, seolah-olah mengenang tragedi tersebut,” katanya.
Saudi turut menekankan bahawa pemahaman terhadap keunikan emosi dan ingatan gajah perlu dijadikan asas dalam usaha pemuliharaan dan pengurusan konflik antara manusia dan haiwan itu.
“Gajah bukan haiwan yang mudah melupakan. Mereka ada sejarah, ada emosi dan ada memori yang mendalam. Usaha untuk melindungi gajah perlu mengambil kira aspek psikologi dan sosial haiwan tersebut, bukan sekadar pendekatan fizikal semata-mata,” katanya.
Pensyarah dan penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Linda Mohd. Daud yang mengkaji tingkah laku gajah serta kesan perubahan habitat haiwan itu berkata, konflik antara manusia dan gajah berpunca daripada pengecutan habitat.
“Kawasan hutan dijadikan jalan raya, ladang dan pembalakan. Akhirnya gajah masuk kampung dan bandar,” katanya.
Menurutnya, pendekatan seperti koridor hidupan liar, pagar khas dan jambatan ekologi perlu diwujudkan agar ruang untuk haiwan bergerak tidak diganggu.
Penuntut UKM, Nur Aishah Zamros, 23, dan Wahyun Afidah Abu Bakar, 22, turut berkongsi pengalaman ketika menjalankan kajian lapangan berkaitan tingkah laku gajah di PKGK.
“Kami datang untuk melihat sendiri bagaimana gajah berinteraksi sesama mereka dan dengan manusia. Mereka sangat sosial dan beremosi.
“Kajian ini membuka mata kami bahawa gajah bukan sekadar haiwan besar, tetapi sangat kompleks,” kata Nur Aishah yang mengambil jurusan Biologi Tingkah Laku Haiwan.
Wahyun Afidah pula berkata, kajian lapangan begitu penting bagi penuntut sains hayat kerana ia memberi pemahaman praktikal tentang bagaimana perubahan persekitaran memberi kesan kepada haiwan liar.
“Kami lihat sendiri bagaimana gajah berada dalam tekanan apabila habitatnya diganggu. Ini bukan teori semata-mata, tapi realiti yang memerlukan tindakan pihak berwajib,” katanya.

Kedua-dua penuntut itu bangga kerana berpeluang menyumbang kepada pemuliharaan haiwan ikonik tersebut sambil berharap lebih ramai pelajar akan tampil mempelajari kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem untuk generasi akan datang.
Seorang pengunjung PKGK, Nuraniza Abd. Wahab berkata, gajah mengajar bahawa empati bukan sekadar perasaan, tetapi tindakan yang melibatkan pengorbanan, pemahaman dan keberanian untuk berubah.
“Dari Gerik ke benua lain, kisah gajah menjadi cermin kepada kemanusiaan kita sendiri bahawa dalam dunia yang semakin terpolarisasi, kita masih boleh belajar daripada makhluk yang tidak berbicara, tetapi menyampaikan kasih sayang dengan cara yang paling tulus. Gajah bukan hanya haiwan, mereka adalah guru empati yang dunia perlukan,” katanya.
PKGK menjadi medan interaksi, pendidikan dan empati terhadap haiwan liar khususnya gajah.
Di tengah kehijauan hutan tropika Pahang, ia terus menjadi lokasi unik yang menyatukan manusia dan gajah dalam ikatan kasih sayang luar biasa.
Setiap hari, pengunjung pelbagai latar belakang hadir bukan sekadar untuk melihat gajah tetapi menyentuh jiwa mamalia itu dengan memberi makan, memeluk belalai dan menyaksikan bagaimana ia menunjukkan emosi yang jarang dilihat di tempat lain.
Che Ku Mohd. Zamzuri berkata, pusat tersebut bukan sekadar tempat pelancongan tetapi berfungsi sebagai pusat pemulihan bagi gajah yang kehilangan habitat akibat pembangunan dan konflik manusia dengan haiwan.
“Kami bukan hanya selamatkan gajah, kami bina semula kepercayaan mereka terhadap manusia. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk sesi interaktif memberi makan, pertunjukan berinformasi tentang latar belakang gajah serta peluang menyaksikan gajah dimandikan oleh mahut di sungai berhampiran,” katanya.
Ditubuhkan pada 1989, PKGK kini menempatkan 25 ekor gajah peliharaan dengan yang paling tua berusia 51 tahun. Ada yang dibawa masuk sejak kecil seperti ‘Gandah’ iaitu seekor anak gajah betina yang lahir hasil pertemuan ‘Lasah’ dengan ‘Siti’ di kawasan berkenaan.
Kebanyakan gajah di situ diberi nama khas seperti Siti berusia 45 tahun, Lasah (27), Langsat, Lina, Ala dan Elly merupakan gajah betina kudung yang kehilangan kaki akibat terkena jerat dipasang di Tanah Merah, Kelantan. – UTUSAN







