DI Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan, berdiri sebuah rumah ibadah yang tidak besar saiznya namun besar makna yang tersirat dalam menggerakkan denyut dakwah masyarakat.
Surau al-Ihsaan Kampung Gong Kulim ditubuhkan pada tahun 2019, lahir daripada tekad seorang imam bersama jemaah, awalnya dengan modal permulaan RM10,000 hasil titik peluh sendiri sebelum dibantu oleh para penderma.
Mingguan Malaysia baru-baru ini sempat menemui penggeraknya, Imam Amran Daud untuk berkongsi kejayaan menjadikan surau al-Ihsan yang dibina sekitar 100 meter dari kediamannya makmur dan aktif dengan pelbagai aktiviti keagamaan.
Menurutnya, nama al-Ihsan bukan sekadar gelaran, tetapi cita-cita – menjadi surau yang mampu memakmurkan hati dengan ilmu, zikrullah dan amal soleh.
Firman Allah SWT dalam al-Quran: “Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada sesuatu) melainkan kepada Allah semata-mata; maka diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah: 18)
Amran berkata, surau itu pada awalnya dibina sendiri dengan tulang empat kerat berasaskan kemahirannya yang pernah bekerja sebagai tukang rumah.
Katanya, peringkat awal surau itu memulakan langkah dengan kelas orang dewasa mengaji al-Quran dan kuliah dhuha setiap pagi Jumaat.
“Pada 6 Disember 2019, sebuah kumpulan Yasin ditubuhkan dengan keahlian sekitar 40 orang muslimat. Dari situlah, denyut kehidupan surau semakin terasa , bukan sahaja menjadi pusat ibadah tetapi pusat menyatukan hati.
IMAM AMRAN DAUD
Umur: 63
Asal: Kampung Banggu,
Kota Bharu, Kelantan.
Sejarah pendidikan:
• SMK Tok Janggut, Pasir Puteh, Kelantan
• SMK Bachok, Kelantan
• Pengajian Pondok Haji Hamzah Padang Bembang, Kota Bharu
• Pondok Haji Hasaan Kedai Baru, Kota Bharu
Tugasan hakiki:
• Imam Surau al-Ihsaan Kampung Gong Kulim
• Penceramah bertauliah masjid di Kelantan
“Tahun berikutnya, pada 2020, surau ini memperluas peranannya dengan penubuhan kumpulan kasidah dan berzanji yang menghimpunkan hampir 20 ahli, terdiri daripada lelaki dan wanita berusia 30 tahun ke atas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Amran berkata, surau itu tidak pernah sunyi daripada program tahunan termasuk sambutan Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, ihya Ramadan hinggalah ibadah korban yangTetapkan imej terencana disempurnakan dengan penuh semangat.
Dalam majlis Maulid, katanya, selain ceramah jemputan yang memberi pencerahan, jamuan gulai kawah menjadi tradisi yang mengikat ukhuwah.
“Tidak ketinggalan, Surau al-Ihsaan turut menganjurkan Majlis Tilawah al-Quran yang menghimpunkan qari dari kampung sekitar daerah Pasir Puteh. Ia diadakan 10 hari sebelum Ramadan sebagai pemanas jiwa menyambut bulan penuh barakah,” katanya.
Katanya, jamuan makan (moreh) tidak hanya pada Ramadan malah berterusan setiap selepas solat Isyak berjemaah sebagaimana yang berlaku sekarang apabila ahli kariah membawa bekal makanan dari rumah untuk berukhuwah.
Amran berkata, surau ini juga turun menyantuni masyarakat di mana ahli jemaah akan menggerakkan bacaan Yasin di rumah orang sakit, sekali gus menjadi penguat semangat kepada mereka yang diuji.
Hakikatnya, kata beliau, Surau al-Ihsaan tidak akan hidup tanpa tangan-tangan yang memakmurkannya, Imam dan jawatankuasa menekankan pentingnya menjaga kebersihan, memastikan kemudahan surau terpelihara, serta menggalakkan penyertaan sukarelawan – sama ada sebagai bilal, siak, atau penggerak teknikal.
Tambahnya, paling utama surau ini sentiasa mendidik jemaah agar menjaga adab, berpakaian sopan, menundukkan suara, dan menghormati kesucian rumah Allah SWT.
“Dalam perjalanan singkat sejak 2019, Surau al-Ihsaan telah membuktikan sebuah rumah ibadah kecil mampu menjadi mercu cahaya. Dengan program ilmu, ibadah, sosial, dan ukhuwah,” jelasnya.
Ini katanya, menepati maksud sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak Adam mati, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Justeru, kata Amran, Surau al-Ihsaan ini adalah sedekah jariah yang hidup, ilmu yang berkembang, dan tampilnya doa yang berterusan. – UTUSAN










