Terus Azim buka lampu di telefon bimbitnya sambil mukanya dirapatkan ke cermin. Dia mengecilkan mata sambil tapak tangannya laju menyapu debu di cermin kenderaan tersebut.
Namun tiba-tiba dia tergamam. Jantungnya seperti disentap keluar dari tubuh. Walaupun pandangannya sedikit kabur tetapi matanya dapat melihat apa yang ada dalam kenderaan tersebut ketika itu.
Jelas kelihatan satu makhluk yang menyeramkan sedang duduk di kerusi pemandu sambil membongkokkan tubuhnya ke arah kerusi penumpang di sebelahnya.
Mukanya hitam menggelupas rentung terbakar, matanya merah menyala seperti bola api dan rambutnya mengerbang panjang sehingga menutupi separuh tubuh. Lidahnya pula terjelir panjang seakan sedang menjilat sesuatu di tempat duduk bersebelahan.
Tubuh Azim menggeletar. Rasanya ingin sahaja dia cabut lari sekuat hati, tetapi kakinya seakan terpasak ke bumi, tidak mampu bergerak lagi.
“Allahhuakbar… !! Allahhuakbar… !! Laungnya sekuat hati.
Dengan berbekalkan sisa semangat dan kekuatan yang ada, dia sedaya upaya berlari menuju ke pekarangan hospital.
Dia sudah tidak mampu menoleh ke belakang lagi. Tidak sanggup rasanya untuk berdepan dengan makhluk menyeramkan itu.
Dengan nafas tercungap dia masuk ke lobi hospital dan terus tersandar di kerusi. Jantungnya berdebar kencang dan fikirannya kosong.
“Eh, kenapa ini tuan? Ada apa hal? Tanya seorang pengawal keselamatan yang kebetulan berada di situ.
Beberapa kali Azim menghela nafas dan beristighfar. Setelah tenang barulah dia memulakan cerita.
Pengawal keselamatan tersebut mendengar ceritanya dengan wajah bersahaja. Langsung tidak nampak riak terkejut.
Azim menyambut sebotol minuman yang diberikan oleh pengawal tersebut. Dia meneguknya sehingga habis.
“Sebenarnya bukan tuan seorang sahaja yang ‘terkena’, sebelum ini ramai lagi yang sudah jumpa,” katanya perlahan.
“Kenderaan itu sebenarnya sudah lama ada di situ, tapi sampai sekarang tak tahu siapa pemiliknya. Pelik juga kerana tiada sesiapa yang menuntutnya. Kalaulah pemiliknya sudah meninggal dunia pastilah ada waris yang akan datang ambil. Rasanya hampir enam bulan terbiar di situ,” sambungnya lagi.
Azim terdiam. Nafasnya masih lagi tercungap.
“Seram sungguh rupa makhluk itu bang. Seumur hidup saya inilah kali pertama saya jumpa hantu. Memang saya tidak duga langsung,” kata Azim sambil matanya liar memandang sekeliling.
Pengawal keselamatan tersebut terdiam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana ingin menenangkan Azim ketika itu.
“Tapi ada seperkara aneh yang saya lihat tadi. Kenapa makhluk itu jilat sesuatu di kerusi sebelahnya? Tanya azim lagi.
“Saya pernah periksa kenderaan itu sebelum ini. Kalau tidak silap saya di kerusi hadapan penumpang ada banyak tompokan berwarna merah. Tapi saya tidak pastilah sama ada itu darah ataupun bukan.
“Sebelum ini ada seorang wanita juga yang ‘terkena’ macam tuan ini. Kalau tak silap saya di parking kenderaan dekat dengan kereta tinggal itu. Malam itu dia keluar lewat dari hospital, saya pula kebetulan ada di luar. Tiba-tiba dengan tidak semena-mena saya terdengar suara orang menjerit…
“Bergegas saya pergi ke situ, sampai saja di sana saya nampak wanita tadi sedang menggigil sambil menangis. Saya tanya apa yang berlaku, dia tidak boleh jawab, hanya tangannya sahaja yang tunjuk ke arah kereta itu,” ceritanya panjang lebar.
Menurut pengawal keselamatan itu lagi dia cuba menenangkan wanita tersebut sebelum membawanya masuk semula ke bangunan hospital. Setelah diberi air dan bertenang barulah dia memulakan cerita.
Permulaan ceritanya agak sama seperti Azim. Katanya, sebaik dia melalui kawasan parkir berkenaan dia terlihat sebuah kenderaan yang lampunya terpasang. Tetapi yang peliknya lampu tersebut sekejap dipasang dan sekejap ditutup, seperti ada seseorang yang sedang memainkannya dari dalam.
Dan sebaik sahaja dia menghampiri dan mengintai ke dalam, dia terkejut. Katanya, dia nampak satu makhluk yang menyeramkan berada di kerusi kenderaan.
Apa lagi terus dia menjerit sekuat hati, sudahnya malam itu dia terpaksa masuk ke hospital kerana demam terkejut, kata pengawal itu lagi.
Seterusnya dia bercerita tentang beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini. Ada juga kakitangan hospital yang kerap ternampak lembaga berambut panjang menyeramkan berkeliaran di kawasan tersebut pada waktu tengah malam.
Azim terdiam. Fikirannya masih ligat melayang terbayangkan apa yang baru disaksikannya sebentar tadi. Dia masih lagi terbayangkan makhluk seram yang menakutkan itu.
Yang menjadi persoalan dalam benaknya ketika itu apakah kaitannya makhluk tersebut dengan kereta itu? Dan siapa tuan empunya kereta serta kenapa kereta itu masih berada di situ?
Nampaknya malam itu dia terpaksa ambil keputusan tidur di hospital.
Tidak sanggup pula rasanya dia ingin menunggang motosikal melintasi lokasi tersebut buat kali kedua. Risau pula kalau-kalau makhluk menakutkan itu muncul di hadapannya atau membonceng motosikalnya nanti. – UTUSAN










