BEIJING: Lebih 600 aset ketenteraan termasuk pesawat tempur dan peluru berpandu strategik dipamerkan dalam perarakan Hari Kemenangan China baru-baru ini, mencerminkan kebangkitan kuasa tentera hingga mencetuskan kegusaran global.
Antara yang mencuri perhatian ialah peluru berpandu strategik antara benua DF-5C, yang menurut media rasmi China, mampu melancarkan serangan ke mana-mana lokasi di seluruh dunia.
Penganalisis antarabangsa menyifatkan pembangunan ketenteraan China sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
David Sacks, seorang felo kajian Asia di Council on Foreign Relations berkata, pemodenan ketenteraan China adalah yang paling pantas dan bercita-cita tinggi dalam sejarah moden.
Di Singapura, dalam Dialog Shangri-La pada Mei lalu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran percubaan China untuk menawan Taiwan secara kekerasan boleh berlaku seawal tahun 2027.
Beijing menolak dakwaan itu, namun ramai tertanya sama ada kemungkinan tersebut benar-benar wujud.
Christina Chen, seorang penyelidik pertahanan dari Taiwan, percaya Presiden China, Xi Jinping, masih belum bersedia untuk melancarkan perang kerana China kini berdepan pelbagai cabaran domestik termasuk kelembapan ekonomi, tekanan sosial dan politik dalaman.
Walaupun demikian, Taiwan tetap memperkukuh pertahanannya menyaksikan Presiden William Lai memulakan latihan pertahanan awam pertama melibatkan masyarakat umum dan anggota simpanan.
Namun, hanya beberapa hari selepas itu, China melancarkan latihan ketenteraan berskala besar mengelilingi Taiwan sebagai simulasi sekatan dan serangan ke atas infrastruktur penting negara pulau itu.
Laporan terbaharu daripada Institut Penyelidikan Keamanan Stockholm (SIPRI) mendedahkan program senjata nuklear China kini merupakan yang paling pesat berkembang di dunia.
Sejak 2023, arsenal nuklear China meningkat sebanyak 100 hulu ledak setiap tahun dan kini mencecah 600 unit, menjadikannya simpanan senjata nuklear ketiga terbesar selepas AS dan Russia.
Seorang penganalisis China, Zhou, menyatakan pertambahan ini penting untuk mengekang ancaman daripada Barat. Menurutnya, selama ini China dianggap lemah kerana memiliki simpanan nuklear yang kecil.
“Apa yang menjadi perhatian utama ialah sama ada Beijing masih percaya kepada penyatuan secara aman dengan Taiwan dan selagi harapan itu wujud, China akan terus bersabar.
“Tetapi jika pemimpin Taiwan bertindak secara melulu atau menolak sepenuhnya jalan damai, maka itulah saat yang paling berbahaya. Undang-undang anti-pemisahan China menyatakan jika segala kemungkinan untuk penyatuan secara aman tertutup, maka penggunaan kekerasan adalah satu pilihan yang sah di sisi undang-undang China,” katanya.
Dalam ucapannya semasa perarakan Hari Kemenangan, Jinping menegaskan dunia kini sekali lagi berada di persimpangan antara perang dan keamanan.
Namun, beliau menekankan rakyat China tetap komited kepada pembangunan secara aman.









