PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak perlu bergantung kepada poster boy untuk meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, BN itu sendiri merupakan produk yang telah terbukti kejayaannya sejak sekian lama.
Katanya, keutamaan parti ketika ini adalah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kemampuan mentadbir dan menyelesaikan isu-isu rakyat, bukan sekadar menonjolkan individu sebagai wajah utama kempen.
“Poster boy tidak semestinya ada. Kita jual produk yang terbukti berjaya. Produk kita ialah BN,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini BN belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung individu yang akan diangkat sebagai calon utama menjelang PRN Sabah.
Katanya, masih terlalu awal untuk menentukan calon Ketua Menteri atau poster boy bagi menghadapi PRN yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Mustapha berkata, keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan keputusan tepat dan berprinsip.
Katanya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk pengalaman lalu, hala tuju politik semasa serta keperluan untuk memastikan kepentingan parti dan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan. – UTUSAN










