‘Ada pemimpin GRS cakap lapan kerusi sudah banyak untuk BN’ - Utusan Malaysia

‘Ada pemimpin GRS cakap lapan kerusi sudah banyak untuk BN’

SAMASUDDIN YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan tunduk kepada sebarang rundingan kerusi yang dianggap tidak adil menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, kegagalan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah disebabkan BN hanya ditawarkan lapan kerusi berbanding 14 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu.

Katanya, situasi itu membuktikan keangkuhan GRS serta sikap tidak menghormati asas perundingan.

“BN berpegang teguh kepada prinsip incumbency rule iaitu kerusi yang dimenangi dalam PRN lalu mesti dikekalkan kepada parti asal. Jika wujud pertindihan, ia boleh diselesaikan melalui prinsip pertukaran (swap rule) yang adil, logik dan berkesan.

“Apabila ada pemimpin utama GRS menyatakan bahawa lapan kerusi pun ‘sudah terlalu banyak’ untuk BN, ia bukan sahaja penghinaan kepada BN, malah menafikan jasa, kekuatan dan peranan besar BN dalam politik Sabah. Kenyataan sebegini jelas menyinggung hati ahli dan penyokong BN di seluruh negeri,” katanya.

Samasuddin turut menyatakan sokongan penuh kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan BN tidak akan berkompromi, sekiranya asas rundingan tidak dihormati.

Beliau berkata, rundingan BN bersama Pakatan Harapan (PH) berjalan dengan baik kerana kedua-dua pihak menghormati asas rundingan, malah pertindihan kerusi dapat diselesaikan melalui prinsip swap dalam semangat Kerajaan Perpaduan.

“BN Sabah tidak akan tunduk kepada rundingan yang pincang. BN Sabah akan terus berjuang dengan penuh maruah dan keyakinan untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×