KUALA TERENGGANU: Dakwaan kenaikan harga melampau di pasar raya besar ketika penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu, tidak berlaku di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya utama mendapati, harga barangan asas termasuk beras, minyak masak, gula, telur dan tepung kekal pada paras biasa tanpa lonjakan mendadak.
Malah, beberapa premis mengekalkan promosi sedia ada sekali gus memberi lebih pilihan kepada pelanggan untuk membeli barangan pada harga berpatutan.
Seorang penerima SARA, Siti Khadijah Mohamad, 37, berkata, dia lega kerana harga di pasar raya berhampiran rumahnya tidak berubah berbanding minggu lalu.
“Hari ini (semalam) saya beli beras dan minyak masak, harganya masih sama. Memang saya datang khas untuk menebus RM100 yang diberi kerajaan,” katanya.
Zulkifli Ariffin, 48, turut berkongsi pengalaman serupa apabila membeli barangan asas pada harga biasa meskipun suasana di kaunter pembayaran agak sesak.
“Saya tidak perasan ada kenaikan harga, semuanya masih sama. Mungkin isu yang tular itu hanya melibatkan lokasi tertentu atau bukan lagi ditawarkan dengan harga promosi,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Noraini Abdul Rahman, 52, berkata, pihaknya tidak menaikkan harga kerana memahami bantuan tersebut bertujuan meringankan beban rakyat.
“Kami ikut harga pasaran biasa dan stok mencukupi. Tidak wajar ambil kesempatan kerana masing-masing memerlukannya,” katanya.
Menurutnya, terdapat beberapa barangan tertentu dijual pada harga lebih rendah berbanding pasar raya besar kerana pembekal mengekalkan harga lama.
Di Teluk Intan, Perak, orang ramai yang membuat pembelian barangan di pasar raya terpilih di sini berkata, mereka tidak mengesan sebarang kenaikan harga pada setiap barang dibeli sebaliknya masih membeli pada harga lama.
Seorang pembeli, Azizan Yahya, 53, berkata, dia mengambil kesempatan membeli barang keperluan asas selepas beberapa hari menerima SARA dan gangguan sistem pembelian pengguna sebelum ini.
Menurutnya, dia tidak melihat secara terperinci harga pada barang yang dibeli namun merasakan tiada kenaikan harga barang keperluan asas sebaliknya masih membeli pada harga lama.
“Hari ini baru saya berbelanja wang SARA kerana ketika ini sistem SARA tidak lagi mengalami gangguan. Saya membeli barang asas seperti beras, minyak masak, susu, gula, kicap dan mi segera untuk keluarga,” katanya. – UTUSAN











