'Masih boleh berbincang walau BN tolak kerjasama GRS'

‘Masih boleh berbincang walau BN tolak kerjasama GRS’

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) terus berunding bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH bukan berada dalam situasi tersepit sehingga terpaksa memilih rakan kerjasama sebaliknya ruang perbincangan masih berjalan.

“Tiada pula tersepit (pilih BN atau GRS). Kita bekerjasama dengan BN dan kita juga berbincang dengan GRS.

“Kita akan terus berunding. Apapun rundingan adalah bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling, Bandar Baru Sri Petaling, di sini semalam.

Terdahulu, Anwar menghadiri program Temu Mesra Madani anjuran Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang berlangsung di masjid tersebut.

Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memutuskan tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN Sabah dan hanya bekerjasama dengan PH.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau menghormati keputusan BN dan berharap dapat membentuk kesepakatan bersama parti itu dan GRS. 

“Datuk Seri Zahid maklum pada saya, dalam perundingan itu nampak buntu. 

“Kita doakan mudah-mudahan ada bentuk kesepakatan, tetapi kita menghormati keputusan BN. PH akan terus berbincang dengan BN dan GRS,” katanya. 

Pada Julai lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya telah bersetuju untuk bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, jika bukan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×