Pengajian tinggi pemangkin agenda hijau negara

Pengajian tinggi pemangkin agenda hijau negara

PAMERAN Kemahiran Hijau ASEAN 2025 yang dianjurkan baru-baru ini menjadi platform penting bagi institusi pengajian tinggi (IPT) mempamerkan inisiatif dalam melahirkan tenaga kerja hijau masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN peningkatan usaha global ke arah pembangunan mampan, institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja hijau masa hadapan.

Di Malaysia, inisiatif ini disokong oleh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) dan program MyHijau bertujuan memacu ekonomi rendah karbon serta menyediakan graduan yang bersedia menyertai sektor pekerjaan hijau. Ia merupakan sektor yang semakin berkembang.

Projek Membentuk Pemimpin Hijau Masa Hadapan (TUNE) yang dibiayai oleh program Erasmus+ melibatkan kerjasama IPT Malaysia bersama rakan serantau seperti Indonesia dan Vietnam. Diselaras Universiti Teknologi Malaysia (UTM), projek ini menterjemahkan strategi Eropah dalam konteks serantau Asia Tenggara.

Melalui lawatan penanda aras ke Porto Business School (PBS) di Portugal dan FH Joanneum (FHJ) di Austria, projek ini menumpukan kepada peningkatan kapasiti IPT untuk menyokong pembangunan ekonomi hijau melalui pendidikan tinggi.

TUNE memberi fokus kepada integrasi kelestarian dalam kurikulum, latihan pensyarah melalui pendekatan latih jurulatih dan pengukuhan kerjasama antara akademia dan industri.

Antara amalan terbaik Eropah yang menjadi inspirasi ialah pengajaran berteraskan kelestarian, penubuhan hab inovasi, pembelajaran melalui projek komuniti serta penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Di Portugal, PBS menonjolkan pendekatan kelestarian adalah misi utama institusi, bukan hanya elemen sampingan.

Delegasi ASEAN meneliti program MBA Sustainability Track yang menggabungkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan kes kajian rentas disiplin. PBS turut berkongsi peranan Pusat Masa Depan Lestari, yang menjalankan penyelidikan gunaan dan bekerjasama rapat dengan sektor korporat serta pembuat dasar.

Model ini memberi inspirasi kepada IPT untuk menubuhkan pusat serupa bagi menyokong agenda NETR, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan daya tahan iklim.

Sementara itu, di Austria, penekanan diberikan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman. Lawatan ke Kilang Coklat Zotter memperlihatkan amalan pengeluaran sifar sisa yang selaras dengan Hala Tuju Ekonomi Kitaran Malaysia.

Di samping itu, peruncit Chic Ethic memperkenalkan pendekatan dagang adil yang menekankan keadilan sosial dan sumber etika. Lawatan ke ladang bunga organik Vom Hugel dan perusahaan fesyen lestari Apflbutzn pula menunjukkan bagaimana perusahaan kecil boleh menyumbang kepada pembangunan hijau yang inklusif serta memerkasa komuniti.

Melalui bengkel di FH Joanneum, penekanan diberikan kepada pengajaran multidisiplin serta pembangunan profesional pensyarah. Delegasi menyedari mengehadkan kelestarian kepada aspek alam sekitar sahaja adalah tidak mencukupi. Sebaliknya, integrasi menyeluruh diperlukan agar graduan bersedia meneroka bidang strategik seperti tenaga, pembinaan, pertanian dan kecerdasan buatan (AI) selari dengan keutamaan NETR dan GTMP.

Secara keseluruhannya, TUNE berperanan sebagai jambatan antara dasar hijau Malaysia dan amalan terbaik antarabangsa. Ia membuka ruang kepada pembangunan pensijilan mikro dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran, kewangan hijau serta pembelajaran berasaskan komuniti.
Dengan penerapan model pendidikan hijau ini, IPT bukan sahaja mampu menghasilkan graduan berpengetahuan, malah berpotensi menjadi pencipta peluang dalam sektor hijau.

Ini juga seiring dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan lebih 300,000 pekerjaan hijau menjelang 2030, serta komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bercirikan kelestarian.

Kerjasama antarabangsa melalui projek TUNE mampu mengangkat IPT menjadi pemangkin utama pembangunan tenaga kerja hijau, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyokong aspirasi negara ke arah ekonomi rendah karbon menjelang 2050.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NORLIZA CHE YAHYA
Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM),
Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×