ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah bahawa keamanan dan perpaduan yang dikecapi negara ketika ini adalah nikmat besar yang perlu disyukuri serta dipertahankan rakyat negeri ini.
Sultan Sallehuddin menyeru agar seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang terus memelihara keharmonian di samping saling menghormati antara satu sama lain.
“Dalam arus dunia yang serba mencabar ini, umat Islam sedang berdepan dengan pelbagai ujian baik dari aspek moral, sosial, ekonomi mahupun ideologi.
“Maka, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memperkukuh jati diri, memperkasa institusi keluarga serta membentuk generasi muda yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
“Semoga sambutan Maulidur Rasul ini menjadi titik mula kepada kebangkitan semangat baharu dalam kalangan umat Islam di negeri ini untuk kembali kepada nilai-nilai murni Islam yang sebenar, dan terus istiqamah meneladani Baginda dalam setiap aspek kehidupan,” titah baginda.
Sultan Kedah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Tahun 1447 Hijrah/2025 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut baginda turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Imam kepada Imam Masjid Jamek al-Ikram Kampung Tualang, Bukit Besar Yan kepada Mokthar Zakaria, 73, dan Anugerah Khas kepada pendakwah mualaf, Mohd. Naim Islam Abdullah, 59.
Sultan Sallehuddin turut menzahirkan harapan agar peristiwa Maulidur Rasul bukan semata-mata untuk diraikan secara simbolik tetapi hendaklah dihayati secara menyeluruh, melalui penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah SAW.
“Sesungguhnya pada diri Baginda terdapat suri teladan yang paling sempurna, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 21, ‘Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu, contoh teladan yang baik bagimu, bagi orang yang mengharap akan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat, serta yang banyak mengingati Allah’.
“Nabi Muhammad SAW bukan sekadar utusan Allah bahkan merupakan pemimpin yang berjaya membina tamadun dan peradaban manusia. Baginda memiliki akhlak yang luhur, kepimpinan yang adil serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap umatnya,” titah baginda.
Titah baginda, seluruh rakyat Kedah perlu menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dalam membina peribadi, memimpin keluarga, memacu organisasi, serta membangunkan masyarakat dan negeri, sehinggakan terbentuknya masyarakat Islam Madinah.
“Nilai-nilai kejujuran, amanah, kasih sayang, hormat-menghormati, tolak ansur dan keadilan perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian,” katanya. – UTUSAN








