PETALING JAYA: Laporan yang mendakwa lebih 100,000 unit perumahan tidak terjual di pasaran adalah kurang tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar sektor hartanah negara.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, angka berkenaan merangkumi data rumah siap tidak terjual, rumah dalam pembinaan serta rumah yang telah diluluskan tetapi belum mula dibina.
Menurutnya, berdasarkan rekod rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah rumah siap tidak terjual terus menunjukkan trend penurunan sejak 2022.
Berita berkaitan:
“Statistik rasmi merekodkan sebanyak 35,592 unit pada 2022, menurun kepada 26,872 unit (2023), 24,208 unit (2024) dan 23,515 unit setakat tahun ini.
“Perkembangan ini membuktikan pasaran perumahan negara kekal stabil dan terkawal hasil usaha kerajaan memperkukuh dasar perumahan serta mengimbangi penawaran dengan permintaan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, KPKT turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan NAPIC melalui inisiatif Data Tunggal untuk Satu Negara (1 Data for 1 Nation) yang dilaksanakan menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS).
“Sistem itu akan memastikan ketepatan, kejelasan dan konsistensi data perumahan di seluruh negara selain mengelakkan percanggahan laporan antara pelbagai agensi, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KPKT telah mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan menjelang pembentangan Belanjawan 2026, termasuk pelaksanaan semula Kempen Pemilikan Rumah Madani (HOC 3.0).
“Kempen itu akan menampilkan pakej insentif cukai dan bukan cukai bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama pada kadar mampu milik, di samping merancakkan pertumbuhan sektor hartanah negara.
“KPKT memberi jaminan kerajaan sentiasa komited memastikan pasaran hartanah kekal sihat, mampan dan berpandukan data yang tepat,” katanya. – UTUSAN











