PETALING JAYA: Blok ASEAN digesa segera mengambil langkah bersepakat mengiktiraf negara Palestin secara kolektif, khususnya menjelang Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan ini.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, pengiktirafan bersama negara anggota ASEAN bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan Palestin di pentas antarabangsa, malah mampu memberi pengaruh kepada lebih banyak negara untuk mengambil langkah sama.
“Malaysia dan majoriti negara ASEAN telah konsisten menyokong pendirian Palestin menubuhkan negara merdeka serta berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Tetapi apabila tindakan itu dilakukan secara seragam, ia akan memberi mesej jauh lebih kuat bahawa perjuangan Palestin berasaskan keadilan sejagat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, Perancis akan mengiktiraf negara Palestin menjelang mesyuarat PBB yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 23 September nanti di New York dan Belgium serta Australia turut mengambil tindakan sama.
Mengenai gesaan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan agar Israel digantung atau dikeluarkan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Walid berkata, gesaan itu merupakan tindakan besar konkrit bermakna dan bukan retorik semata-mata.
“Cadangan Malaysia ini mencerminkan komitmen teguh terhadap undang-undang antarabangsa yang terus dicabuli Israel melalui penjajahan, peluasan penempatan haram, dasar apartheid, serangan bersifat genosid serta penafian hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri.
“Ia sejajar dengan prinsip Piagam PBB dan secara langsung mencabar kekebalan yang dinikmati Israel selama ini apabila berulang kali mengingkari resolusi utama PBB, termasuk Resolusi 181, 242, 338, 194 serta beberapa resolusi lain yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










