KPT sokong usaha perkasa atlet di peringkat IPT

KPT sokong usaha perkasa atlet di peringkat IPT

ZAMBRY Abd. Kadir beramah mesra dengan sebahagian atlet dari kontinjen yang mengambil bahagian sempena Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2025 di Stadium UTM, Skudai, Johor Bahru, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong usaha memperkasa atlet tempatan di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) melalui penganjuran acara sukan serta penyertaan kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, IPT tempatan mampu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa melalui Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN, Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Katanya, antara kejayaan baharu dilakar termasuklah di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman menyaksikan kontinjen negara meraih satu pingat perak dan satu gangsa.

“Pingat perak disumbangkan Khiew Hoe Yean dari UCSI University dalam acara renang 400 meter gaya bebas lelaki, manakala pingat gangsa melalui Wong Ling Ching dari Politeknik Shah Alam dalam acara badminton.

“Selain itu, kejayaan atlet bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga wajar diberi perhatian antaranya pencapaian Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira daripada Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) Terengganu yang meraih empat pingat emas sekali gus memecahkan rekod kejohanan olahraga MSSM 2025.

“Kejayaan ini membuktikan kemampuan atlet dalam kalangan pelajar dan penuntut tempatan juga mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2025 di Stadium Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini malam ini.

Sementara itu, mengulas berhubung SIPMA ke-10, Zambry memberitahu, temasya yang mula dianjurkan sejak 2005 merupakan platform penting bagi atlet berusia 23 tahun ke bawah menonjolkan kecemerlangan dalam bidang sukan.

“SIPMA akan menjadi platform negara melahirkan atlet-atlet baharu yang berpotensi mewakili negara ke peringkat lebih tinggi. Ia juga dapat melahirkan modal insan seimbang antara sukan dan pendidikan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×