35 tahun bukan masa yang singkat bagi seorang pesakit diabetes mengurus penyakitnya. Lebih-lebih lagi ia penyakit kronik dan progresif. Hanya pengurusan dan kawalan sempurna sepanjang hayat diperlukan untuk kekal sejahtera.
Berbeza dengan Amawaha Sulaiman, 71. Beliau bukan sahaja positif menerima suratan takdir, tetapi sokongan keluarga dimiliki amat membantu menguatkan semangatnya melawan kencing manis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Amawaha memberitahu, antara aspek penting perlu dititikberatkan pesakit ialah mendisiplinkan diri makan pada waktu tetap.
“Disiplin ini menghalang naik turun paras gula darah, mengoptimumkan kesan ubat dan mengawal atur berat serta selera,” katanya. Beliau dikesan diabetes pada usia 36. Kini menyuntik insulin empat kali sehari adalah rutin. Mengakui ia sukar, namun alah bisa tegar biasa. Sedar tak sedar lebih tiga dekad beliau berjuang demi kelangsungan hidupnya.
HOBI
Sentiasa positif untuk mengelakkan stres, kata Amawaha sejak setahun lalu, beliau ada hobi baharu iaitu mengumpul keratan akhbar tokoh, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Figura yang sering membawakan perkembangan status Covid-19 negara, menyuntik semangatnya untuk kekal sihat. Pada 18 Mac 2020, Amawaha melihat sosok Dr. Noor Hisham di kaca televisyen. Dia mula terfikir merakam gambar Noor Hisham walaupun hanya di kaca televisyen menggunakan kameranya sendiri. Kemudian, dia cuci gambar tersebut dan simpan.
“Sesekali, wajahnya. Mungkin penat dengan sikap sesetengah masyarakat yang culas dengan arahan kerajaan. Itu yang saya lihat. Saya juga menyimpan setiap keratan akhbar yang berkaitan Dr. Noor Hisham. Saya kurang yakin dengan fakta di internet sebaliknya lebih mempercayai laporan akhbar,” katanya.
Setiap hari beliau akan membeli akhabar dan berita ada gambar Dr. Noor Hisham akan dipotong, ditampal atas kertas A4 sebelum diasingkan kepada segmen tertentu.
“Mungkin ramai yang melihat hobi saya ini sebagai lapuk, namun saya cukup gembira apabila dapat menyimpan gambar dan cerita berkaitan Dr. Noor Hisham. Mungkin nanti anak cucu saya boleh mewarisinya dan mengenang semula Covid-19. Hobi saya ini tidak sia-sia,” katanya mempertahankan hobinya.
Amawaha yang baru-baru ini disahkan menghidap kanser hanya tersenyum tanpa mengulas lanjut. “Nasihat saya, semua orang perlu kekal positif walaupun berhadapan dengan pelbagai penyakit. Kalau sakit, ikutlah cakap doktor,” katanya.
TIPS:
*Awasi pemakanan.
*Senaman ringan.
*Jangan minum air manis.
*Sokongan keluarga termasuk menemani semasa berjumpa doktor dan mengamalkan pemakanan sihat di rumah.










