PN sudah ada rakan kerjasama di Sabah

PN sudah ada rakan kerjasama di Sabah

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan satu parti politik untuk merintis kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang dianggap sesuai bagi memastikan kemenangan pilihan raya sekali gus berupaya membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran termasuk nama parti dan bentuk kerjasama yang mahu merintis pakatan bersama PN.

“Pastinya bekerjasama itu bukan dengan Pakatan Harapan, tidak juga bersama parti Hajiji (Gabungan Rakyat Sabah).

“Kita tengoklah sesiapa yang boleh berminat kerjasama, kita bincanglah. (PN) Bersedia bekerjasama dengan pihak yang dianggap sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat ini, Parti Warisan (Warisan) menjadi satu-satunya parti politik yang memutuskan mahu bertanding solo di semua 73 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) dalam PRN Sabah.

Sebaliknya Barisan Nasional (BN) dan PH memutuskan untuk bekerjasama dalam PRN Sabah, manakala GRS yang sebelum ini mahu bergerak solo telah dikatakan menggerakkan rundingan bersama PH.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihaknya melihat kewajaran berkerjasama dengan mana-mana parti politik Sabah sama ada dalam bentuk electoral pact (pakatan pilihan raya) atau sebaliknya.

Namun katanya, PN masih belum putuskan rakan kerjasama dalam PRN Sabah.

“Kami berharap dapat membentuk kerajaan sama ada dengan mana-mana pihak menang, itu kami akan kaji dan teliti,” katanya.

Beliau berkata, setakat kini pihaknya masih berunding bersama parti lain dalam PN termasuk Pas berhubung agihan kerusi ditandingi dalam PRN Sabah.

“Ia akan selesai dalam tempoh seminggu dua ini sebabnya kami perlu kenal pasti kerusi-kerusi yang boleh dimenangi.

“Kalau rekod lepas, kami menang dan boleh menubuhkan kerajaan tetapi disebabkan pengkhianatan, parti kami jatuh dah sekarang terpaksa bina balik semula,” katanya.

Muhyiddin melihat situasi politik Sabah amat meruncing apabila membabitkan isu rasuah, penyelewengan dan pembangunan yang menuntut perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

“Kami tengok rakyat Sabah peka dalam soal ini setelah PN turun padang apabila membangkitkan masalah infrastruktur, air dan elektrik belum selesai. Jika bagi peluang kepada kami, Insya-Allah perkara ini jadi keutamaan.

“Apabila tiba masanya, kami akan bentangkan manifesto secara menyeluruh. Antara komitmen utama adalah tuntutan berasaskan Perlembagaan iaitu pemulangan 40 peratus hasil pendapatan persekutuan yang diperoleh dari Sabah kepada kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×