PETALING JAYA: Keadaan cuaca masih stabil walaupun mengalami ketidaktentuan hujan dan panas dengan hanya beberapa kawasan di negara ini mencatatkan ukuran hujan melebihi paras purata.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, MET Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, tiada rekod hujan ekstrem dicatatkan sepanjang Ogos lalu.
Sementara itu, katanya, kejadian hujan serta ribut petir terutamanya pada sebelah petang boleh berlaku semasa keadaan atmosfera yang kondusif.
Dalam pada itu, katanya, kejadian hujan batu juga boleh berlaku di dalam awan kumulunimbus tebal berikutan proses perolakan di dalam awan adalah kencang.
“Namun, kawasan di utara Semenanjung dijangka mengalami cuaca yang lebih lembap berbanding kawasan-kawasan lain.
“Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan tentang potensi berlaku ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak) sehingga Sabtu ini”, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Tambah beliau, walaupun cuaca umumnya kering dan kurang pembentukan awan, kejadian angin kencang serta ribut petir tetap berpotensi berlaku, khususnya di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah.
“Ini terutamanya pada awal pagi ini kerana fenomena garis badai, iaitu barisan ribut petir yang terbentuk hasil daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan selama beberapa jam,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam untuk mengelakkan daripada berada di tempat-tempat yang berbahaya seperti air terjun dan anak sungai kerana berisiko terjadi kepala air dan juga mengelak diri daripada berada di bawah pokok, tiang, objek tinggi atau struktur bangunan yang tidak kukuh semasa berlakunya ribut petir. – UTUSAN











