UIAM makmal persaudaraan global, menghidupkan warisan kemerdekaan

UIAM makmal persaudaraan global, menghidupkan warisan kemerdekaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMERDEKAAN Tanah Melayu adalah hasil persaudaraan merentas kaum yang lahir daripada kecerdasan budaya (CQ) pemimpin terdahulu.

Kini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambung warisan itu dalam konteks global melalui misi ilmu, iman dan akhlak.

Dengan prinsip Madani sebagai panduan serta pandangan tokoh-tokoh besar dunia Islam, UIAM menzahirkan kemerdekaan sejati hanya akan kekal utuh apabila roh persaudaraan dan kecerdasan budaya terus diperkasakan.

KEMERDEKAAN

31 Ogos adalah tarikh yang menyatukan hati seluruh rakyat. Kemerdekaan Tanah Melayu dicapai bukan melalui peperangan tetapi dengan kebijaksanaan, hikmah dan roh persaudaraan.

Pemimpin Melayu ketika itu tidak menyingkirkan kaum lain, malah menghulurkan tangan persaudaraan kepada masyarakat Cina dan India. Mereka sedar kemerdekaan hanya bermakna jika ia dinikmati bersama.

Sejarah Islam turut memperlihatkan bagaimana roh persaudaraan menjadi asas kejayaan umat. Kisah Ansar dan Muhajirin di Madinah adalah teladan agung. Kaum Ansar membuka rumah, harta dan jiwa mereka untuk menyambut saudara Muhajirin yang berhijrah dari Mekah.

Persaudaraan ini melangkaui pertalian darah, bahkan dibina atas dasar iman dan kasih sayang.

Hasilnya, lahirlah masyarakat Madinah yang kuat, bersatu dan akhirnya membina tamadun Islam yang gemilang.

Begitu juga dengan perjuangan kemerdekaan. Ia berjaya kerana roh persaudaraan melangkaui sempadan kaum dan budaya, disatukan keinginan bersama untuk bebas daripada penjajahan.

Buya Hamka pernah mengingatkan: “Kemerdekaan suatu negara kalau tidak berpangkalan kepada kekuatan iman dan budi, nescaya akan runtuh kemerdekaan itu dari dalam.” Kata-kata ini menegaskan persaudaraan mesti berpaut pada asas iman dan akhlak kerana tanpa keduanya kemerdekaan mudah rapuh.

CQ ialah keupayaan memahami, menghargai dan menyesuaikan diri dengan perbezaan budaya. Inilah yang dimiliki pemimpin kemerdekaan.

Mereka mampu membaca aspirasi pelbagai komuniti, lalu membina visi bersama untuk tanah air.

CQ inilah yang memastikan kemerdekaan dicapai secara damai tanpa menyingkirkan sesiapa.

Hari ini, cabaran kita berbeza. Dunia moden penuh dengan interaksi merentas bangsa, agama dan negara. Tanpa CQ, masyarakat mudah terjebak dalam salah faham, polarisasi dan ketegangan. CQ bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk mengekalkan keharmonian dan memastikan semangat kemerdekaan tidak runtuh dari dalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mesti dibina atas asas peradaban kasih sayang, yang mengangkat nilai ihsan, persaudaraan dan keterbukaan.

Beliau mengingatkan bangsa yang besar bukanlah bangsa yang menolak kepelbagaian tetapi bangsa yang menjadikannya sebagai kekuatan. Inilah intipati CQ yang sebenar dan perlu diperkukuhkan dalam diri generasi muda.

MAKMAL PERSAUDARAAN GLOBAL

UIAM adalah medan hidup yang membuktikan roh persaudaraan boleh dilaksanakan dalam realiti semasa. Dengan lebih 100 negara diwakili oleh pelajar, pensyarah dan pentadbir, kampus ini menjadi miniatur dunia. Setiap hari, warga UIAM berinteraksi dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan agama.

UIAM bukan sahaja mengurus kepelbagaian dalam kampus, malah melebar luaskan kerjasama strategik dengan universiti luar negara. Melalui program pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dialog peradaban dan jaringan akademik antarabangsa, UIAM menjadi jambatan yang menghubungkan dunia Islam dengan masyarakat global. Di sinilah CQ dipupuk, diuji dan diperkasakan.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar, tokoh pemikir Islam kontemporari menegaskan universiti Islam tidak sekadar pusat ilmu tetapi pusat ‘tauhidisasi ilmu’, iaitu usaha menyatukan akal, iman dan budaya dalam membina peradaban. UIAM menzahirkan gagasan ini dengan menjadikan persaudaraan sejagat sebagai asas pendidikan dan dakwahnya kepada dunia.

PRINSIP MADANI

Prinsip Negara Madani pula memberikan kerangka kukuh untuk memastikan roh persaudaraan terus segar dalam konteks moden.

Kesejahteraan hanya dapat dicapai apabila masyarakat hidup dalam semangat saling menjaga.

Pada era kemerdekaan, kesejahteraan lahir daripada tekad semua kaum mempertahankan maruah tanah air. Hari ini, kesejahteraan mesti diterjemahkan dengan membina sistem sosial yang inklusif, di mana setiap komuniti merasa dilindungi dan dihargai.

Hormat adalah nadi persaudaraan. Dahulu, ia diterjemahkan melalui penerimaan kaum lain sebagai rakan seperjuangan. Kini, hormat bermakna menghargai kepelbagaian budaya, bahasa dan agama sebagai kekayaan. Tanpa hormat, perpaduan hanya tinggal slogan.

Ihsan pula adalah inti spiritual. Pada zaman kemerdekaan, ihsan lahir daripada kesanggupan berkorban demi tanah air. Pada era moden, ihsan bermaksud menzahirkan empati, keprihatinan sosial dan keadilan kemanusiaan dalam dunia yang penuh konflik. Tanpa ihsan, hubungan manusia akan kering daripada nilai.

Keyakinan ialah asas kepercayaan. Kemerdekaan tercapai kerana pemimpin pelbagai kaum yakin pada janji untuk membina negara bersama. Dalam masyarakat hari ini, keyakinan mesti dipulihkan melalui integriti kepimpinan, keadilan sosial dan keterbukaan. Tanpa keyakinan, persaudaraan mudah retak.

Daya cipta pula berkembang dalam suasana persaudaraan. Pemimpin kemerdekaan menunjukkan daya cipta apabila memilih jalan damai untuk meraih kebebasan. Kini, daya cipta diperlukan untuk membina masyarakat inklusif, kreatif dan berdaya tahan menghadapi cabaran global.

UIAM berusaha menginternalisasi nilai-nilai Madani ini dalam minda generasi muda melalui peranannya sebagai Sekretariat Pasukan Petugas Pengukuhan Madani Universiti Awam Malaysia. Antara inisiatifnya ialah penganjuran Syarahan Idea Madani yang disampaikan rektor, menekankan pembinaan masyarakat yang amat relevan dengan keperluan kehidupan hari ini.

AMANAH GLOBAL

UIAM berdiri sebagai saksi CQ dan semangat persaudaraan adalah kunci kelangsungan kemerdekaan. Dengan wajah global, jaringan antarabangsa dan prinsip madani, universiti ini membuktikan kepelbagaian bukanlah alasan untuk berpecah tetapi ruang untuk saling memahami dan bekerjasama.

Selagi rakyat bersatu serta terbuka menerima perbezaan, insya-Allah kemerdekaan akan kekal sebagai rahmat, bukan sahaja untuk tanah air tetapi juga sebagai inspirasi buat dunia.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pengarah, Pusat Ko-Kurikulum Berkredit (CCC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×