DI tengah Gaza yang runtuh, bangunan menjadi debu, kanak-kanak kelaparan, jeritan ditelan asap, undang-undang antarabangsa kini diuji dengan paling getir.
Sekatan Israel sejak 2007 menjadikan Gaza ‘penjara terbuka’ terbesar dunia, menafikan hak asasi untuk hidup, malah menggunakan kebuluran sebagai senjata perang. Inilah latar Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang bukan sahaja sah di sisi undang-undang tetapi juga lahir daripada kegagalan sistem antarabangsa melindungi mereka yang tidak berdosa.
Sekatan menyeluruh terhadap makanan dan bantuan asas bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Artikel II(c) Konvensyen Genosid 1948 menyatakan bahawa mengenakan syarat hidup yang membawa kepada kemusnahan fizikal sesuatu kumpulan adalah perbuatan genosid.
Artikel 8(2)(b)(xxv) Statut Rom pula mengklasifikasikan kebuluran sebagai senjata perang. Sepanjang 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan tiga perintah sementara mendesak Israel membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa sekatan.
Namun, perintah ini dipandang sepi memperlihatkan betapa rapuhnya kewibawaan institusi undang-undang tertinggi dunia apabila berdepan kuasa yang angkuh.
GSF pula terdiri daripada kapal-kapal tidak bersenjata yang membawa ubat-ubatan dan makanan. Dari sudut undang-undang laut, ia dilindungi sepenuhnya oleh Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), khususnya Artikel 87 dan 110, yang menjamin kebebasan pelayaran di laut lepas serta hanya membenarkan sekatan dalam kes tertentu seperti lanun atau penyeludupan.
Flotila kemanusiaan jelas tidak tergolong dalam kategori tersebut. Malah, undang-undang kemanusiaan antarabangsa melalui Konvensyen Geneva Keempat dan Protokol Tambahan I (Artikel 70) menegaskan kewajipan kuasa pendudukan memastikan makanan dan ubat-ubatan sampai kepada orang awam. Israel tidak boleh menafikan hak laluan ini.
Sekiranya Israel sekali lagi menghalang flotila ini, ia bukan sahaja mencabuli undang-undang laut tetapi juga menzahirkan penolakan total terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Gaza sekali lagi dijadikan medan ujian pengabaian norma peradaban moden. Persoalan besar timbul, adakah undang-undang antarabangsa benar-benar bermakna atau hanya tinggal sekadar dokumen bisu di hadapan jenayah paling kejam?
Lebih mengecewakan, banyak negara bukan sahaja memilih diam, malah terus menyalurkan senjata, dana dan perlindungan politik kepada Israel.
Diam dalam konteks ini bukan neutral ia adalah bersubahat. Namun, di sebalik kelumpuhan negara dan institusi antarabangsa, rakyat biasa di seluruh dunia membuktikan mereka masih mampu bertindak. Pada 7 Ogos lalu, pekerja dok di Genoa, Itali, menghalang kapal kargo Saudi, Bahri Yanbu, setelah mendapati ia membawa senjata, peluru, bahan letupan dan kenderaan perisai termasuk penghantaran untuk Israel.
Sekitar 40 pekerja menaiki kapal, memeriksa serta mendokumentasikan kargo, lalu mengisytiharkan “Kami tidak bekerja untuk perang”. Hasilnya, pihak pelabuhan terpaksa bersetuju menubuhkan mekanisme pemantauan tetap terhadap perdagangan senjata.
Kapal sama pernah disekat di Genoa pada 2019, dan hanya bulan lalu pekerja pelabuhan menggagalkan penghantaran keluli ketenteraan ke Israel hasil maklumat rakan sekerja di Greece.
Gerakan sebegini membuktikan bahawa apabila kerajaan dan institusi antarabangsa gagal, masyarakat sivil mampu memikul amanah kemanusiaan. Palestin bukan isu Asia Barat semata-mata sebaliknya hal sejagat yang mengikat nurani manusia kepada nilai asas untuk menolak kebiadaban yang menumpahkan darah tidak berdosa.
Malaysia, antara negara yang paling konsisten mempertahankan Palestin, kini mesti melangkah lebih jauh daripada retorik.
Tindakan konkrit diperlukan segera. Pertubuhan masyarakat sivil, kumpulan peguam, belia dan akademia harus tampil menyokong flotila ini sebagai simbol solidariti global.
Kerajaan pula wajar menyediakan sokongan diplomatik dan perlindungan konsular kepada warganegara yang menyertai flotila.
Malaysia mungkin tidak lagi berada dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas tempoh 2022-2024, namun pengalaman itu memberikan kredibiliti dan legasi penting dalam memperjuangkan hak asasi di pentas antarabangsa. Lebih penting lagi, kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat Palestin sebagai agenda serantau, sekali gus meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel.
Persoalan besar yang menghantui kita, apakah makna sebenar Konvensyen Geneva, Statut Rom dan Konvensyen Genosid, jika dunia terus membenarkan Gaza dihukum lapar tanpa sebarang akibat?
Jika undang-undang antarabangsa terus dipandang sepi, maka seluruh sistem keadilan global akan runtuh bersama bangunan-bangunan yang runtuh di Gaza. Namun, GSF menjadi peringatan iaitu undang-undang masih punya makna jika ada yang berani mempertahankannya. Flotila ini bukan sekadar membawa bekalan makanan tetapi membawa maruah undang-undang antarabangsa itu sendiri.
Akhirnya, jangan kita lupakan bahawa mangsa paling menderita ialah kanak-kanak Gaza. Mereka bukan sahaja kehilangan keluarga, rumah dan sekolah tetapi juga dipaksa menanggung kelaparan dan trauma berpanjangan.
Sokongan kepada GSF adalah sokongan kepada hak mereka untuk hidup, makan, belajar dan membesar dalam keadaan aman.
Jika flotila ini dihalang, maka yang karam bukan hanya kapal di lautan tetapi kewibawaan seluruh undang-undang antarabangsa.
Jika flotila ini berjaya menembusi sekatan, ia bukan sahaja menghantar roti dan ubat-ubatan tetapi juga menghidupkan kembali harapan bahawa dunia masih punya hati nurani.
Dari Kuala Lumpur ke Gaza, daripada rakyat Malaysia kepada seluruh dunia, seruan ini jelas iaitu keadilan mesti ditegakkan, undang-undang antarabangsa mesti dihormati, dan genosid mesti dihentikan.-UTUSAN
PENULIS ialah anggota pengasas dan penasihat undang-undang Pakatan Global Menentang Pendudukan Palestin dan penasihat undang-undang Sumud Nusantara.











