KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai makan dan pembantu rumah masing-masing dihukum denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan akaun bank milik mereka digunakan sebagai ‘keldai akaun’ bagi menerima wang hasil jenayah.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Mazrinie Mahmood.
Tertuduh pertama, Syamimi Zuhairah Jesni, dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar selepas mengaku bersalah menerima wang hasil jenayah berjumlah RM5,000. Mengikut pertuduhan, pembantu kedai makan itu membenarkan akaunnya digunakan untuk menerima wang berkenaan kira-kira empat tahun lalu.
Dalam kes berasingan, seorang lagi tertuduh, Maznah Attan, turut mengaku bersalah atas tiga pertuduhan. Maznah didakwa membenarkan akaun bank miliknya digunakan untuk menerima wang hasil jenayah berjumlah keseluruhan RM3,400.
Bagi pertuduhan pertama, jumlah wang terbabit ialah RM400 pada 10 Disember 2020 di sebuah mesin ATM Maybank di Kuala Terengganu. Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang RM1,500 setiap satu pada 11 Disember 2020 di lokasi sama menerusi dua transaksi berasingan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan penjara sebulan jika gagal membayar.
Kedua-dua kes dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN










