TAWAU: Polis berjaya menahan seorang wanita berusia 23 tahun kerana dipercayai mengeluarkan ucapan berbaur hasutan semasa Himpunan Solidariti Justice For Zara di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan polis, suspek diberkas kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi di kawasan Batu 4, Jalan Apas.
“Wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penahanan boleh dibuat walaupun tanpa waran dan ketika ini polis sedang merakam percakapan suspek bagi melengkapkan siasatan.
Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka selepas polis menerima tiga laporan mengenai ucapan suspek yang didakwa berunsur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman semasa berucap dalam himpunan itu.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menimbulkan kegusaran awam, khususnya menerusi ucapan terbuka.
“Saya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN











