KUALA KUBU BAHRU: Semua pihak perlu memberi ruang kepada polis menyiasat secara menyeluruh dan terperinci berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin pada 27 Julai lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya akan mengumpul segala apa sahaja hasil siasatan sebelum memberi penerangan lanjut berkenaan kes itu.
“Laporan bedah siasat membabitkan pelajar itu kita masih belum terima lagi. Jadi, saya tidak mahu ke depan daripada maklumat yang kita dengar,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) Polis Diraja Malaysia di Auditorium, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu.
Ditanya mengenai dakwaan Peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh bahawa proses bedah siasat kedua selama kira-kira tujuh jam menemukan beberapa kesan kecederaan trauma mencurigakan pada jasad, beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan laporan penuh terlebih dahulu.
“Beri ruang kepada pihak polis menyiasat dengan baik dan sempurna.
“Kita (polis) akan kumpul apa juga hasil siasatan terbabit dan akan beri penerangan lanjut,” jelasnya.
Pada Jumaat lalu, jenazah Allahyarham digali semula dan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Kuala Lumpur, bagi proses bedah siasat kedua.
Proses autopsi dijalankan tiga pakar IPFN bermula kira-kira 9 pagi Sabtu dan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih, pada kira-kira 6.09 petang. – UTUSAN











