52,771 tolak janji temu, gagal hadir ke pusat vaksin - Utusan Malaysia

52,771 tolak janji temu, gagal hadir ke pusat vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 52,771 individu di tujuh negeri tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini walaupun diberi janji temu menerusi aplikasi MySejahtera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV klinik kesihatan berdekatan tempat tinggal mereka.

Keadaan tersebut mendorong Men­­teri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menyuarakan kekecewaan beliau dan mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa sebanyak 30 peratus penerima vaksin di se­luruh negara gagal berbuat de­mi­kian tanpa menyebut angkanya.

Tindakan golongan terbabit bukan sahaja merugikan perbe­lanjaan negara terhadap pembelian vaksin Covid-19 yang mempunyai tempoh luput tertentu, malah turut menafikan peluang orang lain yang mahu mendapatkan vaksin.

Sementara itu, dapatan Utusan Malaysia di tujuh negeri berkenaan mendapati Kedah mencatat angka penolakan pa-ling ramai melibatkan seramai 10,827 yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin gagal memenuhi janji temu, diikuti Pahang (10,000 orang), Kelantan (10,000 orang), Perak (9,009), Negeri Sembilan (6,323 orang), Melaka (3,612 orang) dan Perlis 3,000 individu.

Kebanyakan mereka memberikan pelbagai alasan yang tidak boleh diterima seperti tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan tiada kenderaan untuk ke PPV.

Situasi itu bukan sahaja mengundang kemarahan sebahagian besar rakyat yang sehingga sekarang masih belum mendapat tarikh janji temu mendapatkan suntikan vaksin walaupun telah mendaftar lama.

Malah tindakan mereka yang mengingkari tarikh yang ditetapkan menyebabkan berlakunya pembaziran dos kerana sebotol vaksin mempunyai jangka luput dan perlu diguna sebaik sahaja dikeluarkan dari tempat simpanan.

Di KEDAH, kebanyakan daripada 10,827 penduduk di negeri itu tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan memberi alasan remeh antaranya tiada kenderaan untuk ha-dir di PPV awam dan PPV Klinik Kesihatan berdekatan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Mohd. Fikri Ujang, berkata, ada yang memberikan alasan belum bersedia, tidak sihat, berada di luar kawasan dan sedang menjalani kuarantin.

“Ada juga yang memohon menukar tarikh pada saat akhir dan tidak menjawab panggilan telefon untuk pengesahan kehadiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, jumlah individu yang tidak hadir itu meliputi 35 peratus daripada 30,100 orang yang diberi janji temu.

Di PAHANG, kira-kira 10,000 daripada individu yang menerima janji temu dalam aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak hadir pada tarikh dan waktu ditetapkan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah berkata, setakat ini kira-kira 20 peratus ketidakhadiran janji temu suntikan vaksin Covid-19 direkodkan di negeri ini.

“Pada masa ini dalam 20 peratus tetapi selepas Hari Raya Aidilfitri ini kita menjangkakan jumlah tidak hadir berkurangan kerana kemungkinan besar mereka hendak tunggu lepas raya,” katanya di sini semalam.

Di KELANTAN, dianggarkan 10,000 individu gagal hadir untuk menerima suntikan vaksin selepas fasa kedua bermula di 19 PPV di seluruh Kelantan sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, berdasarkan data jabatan, kebanyakan individu yang tidak hadir itu merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Sebahagian besar individu terbabit juga gagal memaklumkan ketidakhadiran mereka untuk menerima vaksin fasa kedua kepada PPV masing-masing,” katanya di sini semalam.

Di NEGERI SEMBILAN seramai 6,323 individu di negeri ini tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 19 April hingga 24 Mei lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Nege­ri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik berkata, jumlah berkenaan daripada keseluruhan 26,576 orang yang diberi tarikh janji temu bagi pemberian dos pertama dan dos kedua.

“Antara alasan tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan terlepas janji temu diberikan. PPV jauh dari kediaman selain sukar ke lokasi PPV tersebut,” katanya di sini, semalam.

Di MELAKA, seramai 3,612 calon penerima vaksin di negeri ini tidak hadir untuk menerima dos pertama manakala bagi dos kedua pula adalah 322 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan dan Anti Dadah ne­geri, Datuk Rahmad Mariman berkata, angka itu daripada 15,367 temu janji yang ditetapkan kerajaan sehingga 25 Mei lalu.

“Dari 15,637 janji temu untuk vaksin dos satu, 3,612 penerima tidak hadir pada tarikh yang dijadualkan. Tidak hadir untuk dos kedua pula ialah 322 orang. Mereka tidak hadir atas pelbagai sebab,” katanya.

Di PERLIS lebih 3,000 atau 16.57 peratus daripada 20,000 individu yang sudah dipanggil untuk temu janji pemberian vaksin Covid-19 bagi fasa kedua gagal hadiri untuk menerima dos itu dengan pelbagai alasan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd Yusof berkata, antara alasan tidak mahu vaksin Sinovac, memilih menerima vaksin bersama pasangan, tidak ada pengiring ke PPV, tidak sihat dan tarikh tidak sesuai.

Di TERENGGANU, Bilangan individu yang tidak hadir janji temu suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera di negeri ini tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­rajaan Tempatan, Perumahan, Ke­sihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak memberitahu Utusan Malaysia, beliau kecewa dengan sikap masyarakat yang sambil lewa walaupun sudah diberi peringatan.

Katanya, keadaan itu sekali gus bakal merencatkan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai imunisasi berkelompok dalam masa terdekat selain kecenderungan orang ramai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Di PERAK, sebanyak 9,009 individu gagal hadir janji temu fasa kedua vaksin Covid-19 .

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, jumlah itu membabitkan mereka yang dijadualkan menerima dos pertama.

Sementara itu Dr. Adham berkata, terdapat 10 peratus daripada 30 peratus direkodkan tidak hadir di kawasan bandar, manakala hanya lima peratus gagal hadir bagi mendapatkan vaksin AstraZeneca di Lembah Klang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×