Mentaliti pemain China buka mata Pearly-Thinaah

Mentaliti pemain China buka mata Pearly-Thinaah

Pearly Tan- M. Thinaah muncul naib juara Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Perancis, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah membuktikan kekalahan bukan pengakhiran sebaliknya mereka belajar menyesuaikan diri dengan strategi serta mentaliti pemain China dalam gelanggang.

Perlawanan semalam menyaksikan pasangan No. 2 dunia itu menentang beregu No.1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning untuk kali kelima dalam empat final terdahulu.

Namun selepas tewas tiga final terakhir termasuk Terbuka Jepun dan Terbuka China, Julai lalu, Pearly berkata, setiap perlawanan menjadi pelajaran berharga.

Set kedua menyaksikan Pearly-Thinaah bangkit daripada ketinggalan 12-14 dengan teknik servis lentingan yang mengganggu rentak lawan, menunjukkan kebolehan mereka menyesuaikan strategi di tengah perlawanan.

“Ya, kami melakukannya. Saya rasa dia (Thinaah) melakukan semua servis ke belakang, dan ia benar-benar mengganggu rentak mereka sedikit, dan mereka menjadi tergesa-gesa.

“Pada masa itu, kami hanya mengingatkan satu sama lain untuk bertenang dan strategi kami berhasil pada set kedua,” kata Pearly.

Bagi Thinaah, lawan bukan sekadar pesaing, tetapi guru yang menunjukkan bagaimana ketenangan dan konsistensi boleh menukar setiap pukulan menjadi kelebihan.

“Sejujurnya, kami sangat gembira kerana berjaya mara ke perlawanan akhir di Kejohanan Dunia, tetapi sudah tentu sedikit kecewa kerana tidak dapat membawa pulang gelaran juara.

“Saya juga harus memberi pujian kepada pihak lawan, mereka bermain dengan sangat baik dan menekan kami, dan ini adalah sesuatu yang kami boleh pelajari dan jadikan motivasi untuk menjadi lebih baik,” kata Thinaah.

Pengalaman menentang juara dunia secara berulang kali memberikan pelajaran penting tentang disiplin mental, strategi dan kerja sama di gelanggang, sekaligus menyiapkan Pearly-Thinaah menghadapi cabaran akan datang dengan lebih matang.

Untuk rekod, Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita Malaysia pertama yang mara ke final Kejohanan Badminton Dunia sekaligus menyumbang pingat sulung negara pada edisi kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×